by

Deposit tahunan PTPTN melonjak 3 kali ganda sejak 2018

News Sources:

KUALA LUMPUR – Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) mencatatkan pencapaian cemerlang untuk tiga tahun berturut-turut terutama dalam menggalakkan penabungan melalui Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN).

Dengan penekanan baharu kepada menanam budaya menabung dalam kalangan masyarakat yang dimulakan pada tahun 2018, prestasi deposit SSPN telah meningkat dengan ketara.

Jumlah deposit SSPN bagi tahun 2020 ialah RM1.99 bilion sekali gus memecah rekod terdahulu dan mencatat rekod baharu.

Jumlah ini menunjukkan peningkatan sebanyak RM623.82 juta atau 45.58% berbanding RM1.37 bilion pada tahun 2019.

Jumlah deposit SSPN bagi tahun 2020 merupakan penerusan pola peningkatan ketara yang dicatatkan bermula tahun 2018 seperti berikut:

Jumlah keseluruhan deposit SSPN terkumpul sehingga 31 Disember 2020 ialah RM7.88 bilion. Terimaan deposit berjumlah RM1.99 bilion bagi tahun 2020 ini merupakan 132.82% berbanding sasaran tahun 2020 sebanyak RM1.5 bilion.

Bagi prestasi pembukaan akaun baharu SSPN pula, sebanyak 436,101 akaun telah dibuka pada tahun 2020 berbanding sasaran tahunan sebanyak 400,000 akaun.

Pencapaian ini adalah 109.03% berbanding sasaran tahunan.

Secara keseluruhan sehingga 31 Disember 2020 sebanyak 4.82 juta akaun SSPN telah dibuka sejak instrumen simpanan ini diperkenalkan pada tahun 2004.

Keuntungan pelaburan terkumpul juga menunjukkan kenaikan bagi tahun 2020 kepada RM237.42 juta. Prestasi tersebut menunjukkan peningkatan sebanyak 15.7% berbanding RM205.28 juta pada tahun sebelumnya.

Mengulas mengenai pencapaian ini, Pengerusi PTPTN, Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata; “Semasa saya mengambil alih sebagai Pengerusi pada 18 Jun 2018, salah satu penekanan saya ialah untuk mengurangkan bebanan kewangan anak muda.

“Saya sedar ia tidak boleh terhasil serta merta tetapi memerlukan usaha jangka panjang untuk menanam budaya menabung dalam hati masyarakat.

“Pada tahun 2017, jumlah terimaan deposit hanya RM726.84 juta. Syukur kerana dalam masa kurang sedikit tiga tahun saya di PTPTN, kita sudah berjaya meningkatkan jumlah deposit SSPN sebanyak hampir tiga kali ganda berbanding 2017 dan keuntungan juga meningkat setiap tahun.

“Ini menunjukkan usaha kita untuk membudayakan penabungan sudah mula menunjukkan hasil. Pencapaian cemerlang ini adalah hasil dedikasi pegawai PTPTN di semua peringkat, dengan sokongan daripada seluruh Ahli Lembaga Pengurusan PTPTN,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Banyak lagi perlu lakukan untuk benar-benar mengubah budaya masyarakat dan sudah pasti saya bersama semua ahli keluarga PTPTN akan teruskan dengan usaha- usaha yang kita rancang.” jelas Datuk Wan Saiful lagi.

PTPTN juga telah memperbanyakkan saluran untuk transaksi online termasuk Direct Debit, e-Pay, FPX, JomPay, kiosk media, MOLPay, myPay dan PayQuik.

Ini adalah untuk memudahkan masyarakat menyimpan dalam SSPN. Penerimaan masyarakat semakin baik dan ia dapat dilihat jelas apabila sebanyak 66.39% daripada jumlah deposit simpanan kini adalah melalui transaksi secara online berbanding melalui
transaksi di kaunter.

Menurut Wan Saiful, usaha membudayakan transaksi secara online ini diterajui oleh Ahmad Dasuki Abdul Majid selaku Ketua Eksekutif PTPTN.

“Saya ucapkan tahniah kepada Ahmad Dasuki atas kejayaan ini. Penggunaan sistem online yang lebih banyak memang perlu kita laksanakan demi memastikan urusan pelanggan berjalan dengan cepat, mudah dan selamat terutamanya ketika situasi
semasa pandemik Covid-19 yang melanda negara.

PTPTN sentiasa mencari ruang dan peluang untuk memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada pelanggan seiring norma baharu dan kecanggihan teknologi semasa.

“Kita akan teruskan meneroka teknologi-teknologi baharu yang boleh kita perkenalkan untuk kemudahan pelanggan,” ujarnya.

Berkaitan modal insan, pada tahun 2020, PTPTN telah berjaya membantu seramai 150,567 pelajar yang ditawar melanjutkan pengajian ke Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) melalui
pinjaman pendidikan yang diluluskan berjumlah RM3.59 bilion sehingga mereka tamat belajar.

Daripada jumlah tersebut seramai 59,421 pelajar atau 39.46% melibatkan RM1.6 bilion adalah dari kalangan golongan B40 dan kurang berkemampuan.

Pinjaman yang diberikan oleh PTPTN membolehkan mereka merealisasikan cita-cita ke menara gading.

PTPTN juga terus melaksanakan program-program yang dapat meningkatkan budaya membayar balik pinjaman dalam kalangan peminjam untuk kelestarian PTPTN bagi menjamin pembiayaan untuk pelajar masa hadapan.

Bagi tahun 2020, PTPTN telah menetapkan sasaran kutipan bayaran balik sebanyak RM1.175 bilion dan sehingga berakhirnya tahun 2020 sebanyak RM1.353 bilion telah berjaya dikutip iaitu
melebihi sasaran tahunan yang ditetapkan.

“Pada tahun 2021, kita akan teruskan usaha membudayakan penabungan supaya suatu hari nanti kebergantungan kepada hutang akan berkurangan. Model operasi PTPTN sebelum ini mengakibatkan anak muda mempunyai bebanan hutang
yang berat manakala masyarakat pula tidak tahu pun mengenai produk tabung pendidikan kita.

“Situasi ini mesti diubah. Saya mahu benar-benar mengubah PTPTN agar ia dilihat sebagai sebuah agensi yang peranan utamanya adalah untuk menyediakan tabungan pendidikan tetapi turut mempunyai kemudahan pinjaman bagi mereka yang memerlukan. Jika tercapai, maka itu barulah perubahan sebenar kepada PTPTN.

“Saya sedar manfaat daripada usaha ini hanya akan dapat dilihat dalam jangka masa panjang. Kita telah mulakan langkah pertama pada tahun 2018, dan kita akan teruskan selepas ini supaya perubahan yang kita hasilkan bersifat kekal dan
berterusan,” kata Wan Saiful.- MalaysiaGazette



Source link

Comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

News Feed