by

Dilantik exco: Pas Perak menjunjung kasih perkenan Sultan Perak 

News Sources:

IPOH: Pas Perak menjunjung kasih di atas  perkenan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah melantik dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dari parti itu sebagai exco kerajaan negeri hari ini.

Pengerusi Pas Perak, Razman Zakaria yang turut dilantik semula ke jawatan exco berkata, kesemua exco yang dilantik semula ke jawatan mereka akan memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat Perak.

Beliau yang juga ADUN Gunung Semanggol berkata, mereka akan mempertahankan kerajaan daripada keadaan politik yang tidak stabil bagi memberi tumpuan sepenuhnya perkhidmatan kepada rakyat.

“Kami menjunjung kasih ke bawah duli tuanku yang telah berkenan melantik kami barisan exco yang lama untuk memberi perkhidmatan kepada rakyat duli tuanku.

“Kita juga mengucapkan syabas dan tahniah kepada menteri besar yang baharu. Kita akan menumpukan segala tenaga untuk memberi  perkhidmatan kepada rakyat khususnya dalam keadaan ekonomi sekarang serta wabak Covid-19 yang belum selesai,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas istiadat angkat exco kerajaan negeri di Istana Kinta di sini hari ini.

Razman merupakan antara dua ADUN dari Pas yang mengangkat sumpah jawatan exco di hadapan Sultan Nazrin hari ini.

Seorang lagi ADUN Pas yang dilantik exco semula ialah ADUN Selama, Mohd. Akmal Kamaruddin.

Tiga lagi ADUN kekal sebagai exco iaitu dua ADUN Bersatu, Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi (Tualang Sekah) dan Datuk Abdul Yunus Jamahri (Kuala Kurau) dan Ahmad Saidi Mohamad Daud (Changkat Jering) dari UMNO.

Istiadat angkat sumpah jawatan exco hari ini dihadiri Menteri Besar, Datuk Saarani Mohamad; Hakim Utama Mahkamah Tinggi Ipoh, Datuk Hisham Hashim dan Setiausaha Kerajaan negeri, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim.

Dengan pelantikan lima lagi exco hari ini, ia melengkapkan senarai 10 exco dalam kerajaan baharu.

Sebelum ini, pada 10 Disember lalu, ADUN Sungai Manik dari Bersatu, Datuk Zainol Fadzi Paharuddin merupakan muka baharu yang dilantik exco.

Selain beliau, empat ADUN dari UMNO telah mengangkat sumpah jawatan exco iaitu Datuk Mohd. Zolkafly Harun (Lintang); Datuk Shahrul Zaman Yahya (Rungkup), Datuk Dr. Wan Norashikin (Kampong Gajah) dan Khairul Shahril Mohamed (Bota).

Istiadat angkat sumpah jawatan exco lima ADUN hari ini diadakan selepas Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menghadap Sultan Nazrin di Istana Kinta hari ini.

Abdul Hadi sebelum ini, telah menghantar surat memohon menghadap Sultan Perak pada 10 Disember lalu berikutan tiga ADUN parti itu tidak menghadap sebagaimana dititahkan baginda ketika kemelut politik Perak.

Razman yang mengulas tindakan mereka berkata, keputusan berkenaan diambil atas arahan pucuk kepemimpinan parti.

Berikutan itu, tiga ADUN Pas itu menzahirkan permohonan maaf kepada Sultan Perak atas kekhilafan mereka kerana tidak menghadap sebagaimana dititahkan baginda.  -UTUSAN ONLINE





Source link

Comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

News Feed