by

Dipenjara, denda tipu pengarah syarikat

News Sources:

KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen hari ini menjatuhkan hukuman penjara tujuh bulan dan denda RM10,000 terhadap dua lelaki kerana menipu seorang pengarah syarikat berhubung kelulusan kuota pekerja asing daripada Kementerian Dalam Negeri (KDN).

Mohd. Amir Othman, 55, dipenjara tujuh bulan manakala Muhammad Zarul Ariff Mohd Zawawi, 26, pula didenda RM10,000 atau penjara tiga bulan jika gagal membayar denda.

Mohd Amir yang merupakan sukarelawan sebuah pertubuhan bukan kerajaan dan Muhammad Zarul Ariff yang bekerja di pusat pemprosesan ayam sepatutnya dibicarakan hari ini namun kedua-duanya menukar pengakuan kepada bersalah.

Ketika menjatuhkan hukuman, Hakim Rozina Ayob menasihati kedua-duanya mengambil iktibar terhadap kesalahan yang dilakukan serta menjadi contoh yang baik buat anak-anak dan adik beradik.

Mengikut pertuduhan, mereka bersama-sama dengan seorang lagi yang masih bebas dengan niat bersama menipu Lim Yaw Shing, 53, dengan memperdayakan mangsa untuk mempercayai bahawa mereka telah menguruskan proses mendapatkan kelulusan kuota pekerja asing daripada KDN bagi Syarikat Amelint Textile Sdn Bhd.

Tindakan itu mendorong Yaw Shing menyerahkan wang berjumlah RM25,000 di tempat letak kenderaan kawasan Rehat dan Rawat, Awan Besar, Lebuh Raya Kesas, di sini, pada 4.35 petang, 13 Mac 2019.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 415 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 417 Kanun sama yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara lima tahun atau denda atau kedua-duanya.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Asraf Mohamed Tahir memohon hukuman setimpal berbentuk pengajaran kepada tertuduh.

Bagaimanapun, Mohd Amir yang diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), K. Sumitra Devi memohon hukuman berbentuk pemenjaraan yang singkat.

Muhammad Zarul Ariff yang diwakili peguam Muhamad Aizat Fakri memohon hukuman berbentuk denda yang ringan dengan alasan ini adalah kesalahan pertama anak guamnya.

Fakta kes menyebut, kedua-dua tertuduh bersama seorang lagi yang masih bebas (Abdul Razman Mutokhir) menyatakan kepada mangsa bahawa mereka boleh menguruskan permohonan tersebut dengan bayaran penuh sebanyak RM75,000.

Mangsa kemudian membuat semakan surat kelulusan permohonan kuota pekerja asing yang diberikan Abdul Razman namun dokumen tersebut didapati palsu dan tidak berada dalam sistem yang digunakan KDN.

Abdul Razman kemudian memaklumkan surat kelulusan tiada dalam sistem tersebut kerana mangsa belum membut bayaran selain mengugut untuk menyenarai hitamkan syarikatnya jika bayaran tidak dibuat. – UTUSAN ONLINE 





Source link

Comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

News Feed