by

Dividen KWSP 2021 mungkin rendah

News Sources:

PETALING JAYA: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dijangka mampu mempertahankan kecairan dan pelaburannya walaupun `diancam’ pengeluaran simpanan oleh pencarum selepas kerajaan mengumumkan akan membenarkan pelaksanaan program i-Sinar tanpa syarat mulai hari ini.

Pengarah Pusat Pengurusan Penyelidikan Universiti Kewangan Islam Global (Inceif), Prof. Madya Dr. Baharom Abdul Hamid berkata, KWSP telah menyusun semula pelaburannya dan kini, agensi itu mula menyusun strategi untuk melakukannya dengan lebih luas.

“Namun harus berhati-hati. Sebagai pemain terbesar dalam pasaran saham tempatan, ia tidak harus menggoncang pasaran apabila lambakan jualan dilakukan KWSP,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.

Disember lalu, KWSP mengumumkan pendapatan pelaburan kasar sebanyak RM17.33 bilion untuk suku ketiga berakhir 30 September tahun lalu, walaupun berhadapan ketidaktentuan dalam pasaran modal.

Kejayaan tersebut, menurut Pensyarah Kanan Putra Business School (PBS), Prof. Madya Dr. Ahmed Razman Abdul Latiff adalah hasil inisiatif strategiknya dalam pelaburan, termasuk mempelbagaikan aset pelaburannya ke luar negara.

Mengulas lanjut, Baharom berpendapat dividen yang disumbangkan KWSP untuk 2021 dijangka berkurang akibat aktiviti mencairkan aset untuk menampung pengeluaran i-Sinar.
Kata beliau, KWSP mungkin terpaksa mencairkan aset yang memberikan keuntungan tinggi atau bakal memberikan pulangan tinggi.

Namun, beliau menegaskan, agregat pengeluaran akibat keputusan kerajaan memansuhkan syarat i-Sinar masih belum dapat dipastikan.

“Sama ada ia akan mengakibatkan pengeluaran secara besar-besaran atau tidak, ia hanya persepsi buat masa ini.

“Masih terlalu awal untuk mengandaikannya. Ia akan lebih jelas dalam sebulan atau dua lagi,” katanya.

Mengulas mengenai impak keputusan kerajaan terhadap simpanan hari tua pencarum, Baharom tidak menafikan ia dijangka memberi kesan yang negatif.

“Apatah lagi kita menuju negara berusia dan statistik menunjukkan kadar tabungan KWSP yang agak tidak memuaskan, ditambah pula dengan pengeluaran pramatang.

“Ia dikhuatiri mencetuskan krisis sosial pada masa hadapan kecuali pembuat polisi hadir dengan kerangka yang jelas dan mapan untuk menghadapinya,” katanya. – UTUSAN





Source link

Comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

News Feed