by

Ekonomi 2021 diunjur tumbuh 6.7%

News Sources:

KUALA LUMPUR: Ekonomi negara diunjurkan berkembang 6.7 peratus tahun hadapan berbanding penguncupan 5.8 peratus tahun ini didorong oleh kejayaan mengawal gelombang ketiga penularan Covid-19.

Pertumbuhan Keluaran Da­lam Negara Kasar (KDNK) Malaysia turut dipacu oleh pelancaran dan pengedaran berkesan vaksin boleh menyebabkan pemulihan permintaan pengguna lebih pantas dan keyakinan pelabur lebih tinggi sekali gus pemulihan aktiviti ekonomi domestik lebih mendalam pada 2021.

Menurut laporan Pemantauan Ekonomi Malaysia: Sowing the Seeds yang diterbitkan Bank Dunia semalam, unjuran tersebut sekali gus mengatasi 4.2 peratus jangkaan pertumbuhan ekonomi global.

Katanya, tanda-tanda pemulihan menunjukkan bahawa Malaysia mencatat penurunan lebih kecil sebanyak 2.7 peratus pada suku ketiga berbanding 17.1 peratus dalam suku kedua tahun ini.

Menurut Bank Dunia, langkah-langkah fiskal seperti bantuan tunai dan subsidi upah telah melonjakkan perbelanjaan isi rumah dengan penggunaan swasta menguncup 2.1 peratus pada suku ketiga berbanding 18.5 pe­ratus dalam suku kedua 2020.

“Namun begitu, peningkatan kes baharu Covid-19 baru-baru ini dan pelaksanaan perintah pergerakan boleh melambatkan pemulihan disebabkan ketidakpastian mengenai keberkesanan vaksin serta pemulihan mantap ekonomi global yang mempengaruhi proses pemulihan.

“Mengawal kadar jangkitan pandemik dan melindungi golongan paling rentan tetap menjadi keutamaan dalam jangka masa terdekat,” katanya dalam kenyataan semalam.

Pelancaran laporan Pemantauan Ekonomi Malaysia: Sowing the Seeds itu turut disertai secara maya oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Unjuran yang ditetapkan Bank Dunia itu turut sejajar dengan anggaran Fitch Ratings manakala Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) tampil dengan unjuran lebih tinggi pada kadar 7.8 peratus.
Kerajaan pula menjangkakan ekonomi Malaysia pada tahun hadapan berkembang antara 6.5 hingga 7.5 peratus.

Dalam pada itu, Ahli Ekonomi Kanan Kumpulan Bank Dunia, Shakira Teh Sharifuddin dalam pembentangan berkata, kekuatan dan tempoh pemulihan walau bagaimanapun sebahagian besar bergantung pada keberkesanan pelancaran program vaksinasi besar-besaran, pemulihan pertumbuhan global dan permintaan luaran.

Beliau berkata, unjuran pertumbuhan tersebut turut bergantung kepada risiko penurunan termasuk faktor luaran membabitkan kelewatan tidak dijangka dalam pelaksanaan vaksin dan pengekangan tidak efektif dalam mena­ngani gelombang ketiga Covid-19.

Pada masa yang sama, beliau berkata, peningkatan golo­ngan rentan tan­pa sokongan mencukupi dan ketidakpastian politik domestik juga boleh menyebabkan pemulihan terganggu. – UTUSAN





Source link

Comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

News Feed