by

Empat penjenayah cuba serang polis ditembak mati

News Sources:

BATU PAHAT: Polis menembak mati empat penjenayah selepas salah seorang daripada mereka melepaskan tembakan kepada sepasukan anggota dan pegawai dalam kejadian di Jalan Pagoh-Parit Sulong, awal pagi ini.

Dalam kejadian pada pukul 3.15 pagi itu, empat lelaki tanpa sebarang pengenalan diri itu pada mulanya ditahan polis selepas menaiki dua buah kenderaan dalam keadaan mencurigakan.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, seorang pegawai turut cedera ringan di tangan terkena kerambit salah seorang suspek ketika pergelutan berlaku semasa mereka cuba melarikan diri.

Menurut beliau, ketika menghampiri kereta Toyota Avanza untuk membuat pemeriksaan, pemandu kenderaan itu telah melepaskan beberapa das tembakan ke arah pasukan polis.

“Sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Johor dan Bahagian Siasatan Jenayah Batu Pahat membalas tembakan tersebut bagi mempertahankan diri sehingga tiada lagi ancaman.

“Pada masa sama, penumpang kenderaan itu serta pemandu dan seorang lagi penumpang Perodua Myvi cuba melarikan diri sambil menyerang polis dengan parang dan pisau kerambit,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Batu Pahat, hari ini.

Ayob Khan berkata, keempat-empat lelaki dipercayai warga asing itu berusia dalam lingkungan 23 hingga 40 tahun dan polis masih menyiasat penglibatan mereka dalam kegiatan samun dan pecah masuk premis.

“Kita percaya keempat-empat penjenayah yang berjaya ditumpaskan ini terlibat secara aktif dalam kegiatan samun dan pecah masuk premis di sekitar Johor.

“Malah, pemeriksaan terhadap kereta Perodua Myvi itu juga didapati masih dilaporkan hilang di kawasan Seri Alam, Johor Bahru, manakala Toyota Avanza menggunakan nombor pendaftaran palsu,” katanya.

Beliau berkata, polis merampas sepucuk pistol jenis Revolver berwarna hitam, empat butir peluru .38, dua bilah parang, satu pisau kerambit dan kedua-dua buah kenderaan itu.

Ujar Ayob Khan, polis turut menemukan beberapa peralatan dipercayai digunakan untuk kegiatan pecah masuk premis dan beg pakaian di dalam kedua-dua kereta tersebut.

Kes disiasat mengikut Seksyen 307/186 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh dan menghalang tugas penjawat awam. – UTUSAN ONLINE





Source link

Comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

News Feed