by

Gadai nyawa guna jambatan kereta api

News Sources:

GUA MUSANG: Hampir 1,000 penduduk Kampung Batu Enam dan Batu Lima, di sini bergadai nyawa setiap hari apabila terpaksa menggunakan jambatan kereta api sebagai laluan menyeberangi Sungai Galas sejak enam bulan lalu.

Ketua Kampung Batu Enam, Rozi Ismail, berkata, meskipun laluan itu tidak selamat digunakan tetapi penduduk tiada pilihan selepas jambatan konkrit menghubungkan kampung itu dengan Kampung Batu Lima yang runtuh, Julai lalu belum dibina baharu.

Katanya, ramai penduduk sudah meninggalkan kampung itu untuk menyewa rumah di bandar Gua Musang kerana tidak sanggup menanggung risiko melalui jambatan kereta api.

“Pada waktu pagi keadaan agak bahaya kepada penduduk yang menunggang motosikal dan berjalan kaki kerana lantai besi licin.

“Selepas jambatan konkrit itu runtuh, ramai ibu bapa berhenti menghantar anak ke sekolah kerana bimbang keselamatan melalui jambatan kereta api,” katanya ketika ditemui di Kampung Batu Enam, semalam.

Menurut Rozi, jambatan itu bukan sahaja penting untuk ke bandar Gua Musang tetapi mengeluarkan hasil pertanian.

Sementara itu, seorang penoreh getah, Mohd. Khairul Azhar Mohamad, 34, berkata, dia menghantar dua anaknya ke sekolah dua hari sahaja sebelum cuti panjang baru-baru ini.

Katanya, dia sendiri berasa gayat dan gementar kerana sudah 11 tahun tidak melalui jambatan kereta api itu selepas jambatan konkrit siap dibina kerajaan.

“Saya yang menunggang motosikal terpaksa banyak kali berhenti di tengah jambatan kereta api itu kerana gayat.

“Biarpun hati berasa bimbang dengan keselamatan diri sendiri dan anak, hanya jalan perhubungan itu yang ada untuk kami,” katanya.

Penolong Pegawai Pendidikan Awal Kanak-Kanak Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) Gua Musang, Norizan Yaakub pula berkata, sebuah tabika di Kampung Batu Enam terpaksa ditutup kerana kekurangan pelajar.

Katanya, masalah itu berpunca daripada jambatan runtuh menyebabkan penduduk di kampung Batu Lima tidak menghantar anaknya ke kelas tabika di kampung itu.

“Selepas perbincangan dengan ibu bapa dan ahli jawatan kuasa, kami sepakat menutup sementara tabika di kampung ini,” katanya. – UTUSAN ONLINE





Source link

Comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

News Feed