by

Gagal patuhi perintah TTPM, Boy Iman didenda RM5,000

News Sources:

PUTRAJAYA: Pelakon dan penerbit Boy Iman serta syarikatnya DBI Properties Sdn. Bhd. didenda RM5,000 oleh Mahkamah Majistret kerana gagal mematuhi perintah Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM) yang dikenakan terhadapnya, empat tahun lalu.

Majistret Shah Wira Abdul Halim mengenakan denda RM3,000 terhadap Boy Iman atau nama sebenarnya Noruliman A. Rahman, 41, manakala RM2,000 dikenakan kepada syarikatnya iaitu DBI Properties selepas selebriti itu selaku Orang Kena Saman (OKS) mengaku bersalah atas kedua-dua pertuduhan.

Sekiranya gagal membayar jumlah denda itu, Boy Iman boleh dikenakan penjara setahun. Denda itu dijelaskan.

Mengikut pertuduhan, Boy Iman dan DBI Properties didapati telah gagal membayar RM12,000 kepada Hanis Mohd. Samah, 58, seperti yang diperintahkan oleh TTPM.

Bayaran itu perlu dijelaskan selepas 14 hari dari tarikh perintah bertarikh 28 Februari 2017 dikeluarkan. Kesalahan dilakukan pada 5 Oktober 2017 di Pejabat TTPM di Aras 5, Podium 2, No 13, Persiaran Perdana Presint 2, di sini.

Bagi kedua-dua kesalahan, OKS dan syarikatnya didakwa mengikut Seksyen 117(1) Akta Pelindungan Pengguna 1999 dan boleh dihukum di bawah Seksyen dan akta sama yang memperuntukkan hukuman denda maksimum 10,000 atau penjara maksimum dua tahun jika sabit kesalahan.

Terdahulu, peguam Mohd. Asmawi Mohd. Yusof yang mewakili OKS memohon mahkamah mengenakan denda minimum memandangkan anak guamnya telah membayar separuh daripada jumlah tersebut.

Hujah peguam bela, OKS yang diisytiharkan muflis telah membayar RM6,000 manakala bakinya akan dibayar oleh rakan kongsi syarikat tersebut namun pembayaran yang dijanjikan itu gagal dibuat padahal kedua-duanya telah berbincang agar setiap seorang membayar RM6,000.

Bagaimanapun, Pegawai Pendakwa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Khatijah Abdul Rajah memohon mahkamah mengenakan hukuman setimpal terhadap OKS dengan mengambil kira kerugian yang dialami pengadu dalam kes ini.

Jelasnya, pengakuan salah bukan faktor untuk mahkamah meringankan hukuman terhadap OKS apatah lagi dalam kes tersebut OKS yang merupakan seorang selebriti menunjukkan sikap tidak serius dan tidak gentar dengan undang-undang.

Pada 10 Oktober tahun lalu, Mahkamah Majistret di sini mengeluarkan waran tangkap terhadap Boy Iman selepas gagal hadir pada sebutan kali pertama kes tersebut. Tertuduh kemudian telah ditangkap semalam oleh KPDNHEP.

Mengikut fakta kes, semasa pendengaran di TTPM pada 28 Februari 2017, OKS gagal menghadirkan diri walaupun mengetahui tuntutan yang difailkan oleh Hanis.

Pada 21 Mac 2017, OKS yang juga merupakan salah seorang pengarah DBI Propeties telah menerima salinan perintah melalui serahan tangan oleh pasukan penguatkuasa dan OKS telah menandatangani kenyataan pemeriksaan pada hari yang sama. Bagaimanapun selepas tiga tahun perintah itu masih gagal dipatuhi. – UTUSAN ONLINE





Source link

Comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

News Feed