by

Geng Fei Long bekal dadah di pusat hiburan, parti liar tumpas

News Sources:

KUALA LUMPUR: Kegiatan sindiket pengedaran dadah yang membekalkan bahan terlarang tersebut di  pusat hiburan dan parti liar akhirnya tumpas apabila tujuh lelaki ditahan bersama pelbagai dadah bernilai lebih RM2.5 juta.

Sindiket dikenali sebagai Geng Fei Long yang aktif sejak enam bulan lalu itu dikesan memasarkan dadah yang siap dibungkus, selain meletakkannya dalam botol minuman untuk kegunaan mereka yang berhibur di pusat hiburan dan parti liar.

Penahanan kesemua suspek berusia 25 hingga 51 tahun itu dilakukan di sekitar Lembah Klang dalam operasi bermula Isnin lalu oleh sepasukan pegawai dan anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Saiful Azly Kamaruddin, berkata dalam serbuan pertama pada 14 Disember lalu dua lelaki ditahan di sebuah kediaman di Jalan Sultan Ismail di sini sebelum menemukan dadah jenis methamphetamine.

“Soal siasat ke atas suspek membawa kepada tangkapan dua lagi suspek pada hari sama di tempat letak kereta di Seksyen 13 Petaling Jaya, Selangor sebelum dadah jenis methamphetamine dianggarkan seberat 100 gram dirampas.

“Beberapa jam selepas itu, pasukan polis bersama suspek pergi ke sebuah rumah di lokasi sama dan hasil pemeriksaan menemui dadah jenis ekstacy dianggarkan seberat 1.26 kilogram dan ketamin seberat 631 gram,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kuala Lumpur di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Saiful Azly berkata, dua lagi serbuan secara serentak turut dilakukan di sebuah rumah di Petaling Jaya dan sebuah kereta di Jalan Peel, Cheras, kira-kira pukul 8 malam pada Selasa lalu.

“Di situ, dua lagi suspek ditahan termasuk dalang utama dan bungkusan plastik berisi dadah jenis ketamin dianggarkan seberat 1.8 kilogram serta wang tunai RM420 ditemukan.

“Polis juga menahan seorang lelaki dalam kereta Toyota Camry dan merampas dadah disyaki MDMA seberat 5.3 kilogram dan 96 botol minuman berisi cecair dadah berjumlah 48 liter,” jelasnya.

Tambah Saiful Azly, hasil penahanan kesemua suspek itu kemudiannya membawa kepada pembongkaran tempat persembunyian dadah di sebuah rumah di Jenjarom, Selangor dan menjumpai dadah jenis ketamin seberat 36 kilogram.

“Kesemua suspek direman tujuh hari sehingga 22 Disember ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.-UTUSAN ONLINE

 





Source link

Comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

News Feed