by

Guru wanita mengaku tak salah rasuah polis

News Sources:

SHAH ALAM: Seorang guru mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini semalam atas enam pertuduhan memberi rasuah secara bulanan bernilai RM9,000 kepada anggota dan pegawai polis trafik agar tidak mengambil tindakan terhadap pekerja asingnya.

Tertuduh, Norimi Hashim, 40, guru sekolah rendah di daerah ini turut berdepan dengan enam pertuduhan pilihan tetapi dia  juga membuat pengakuan tidak bersalah.

Mengikut pertuduhan asal dan pilihan, ibu tunggal kepada dua anak itu didakwa memberi suapan kepada dua anggota polis dan seorang pegawai mereka yang masing-masing bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam dan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor.

Tertuduh memberikan suapan RM9,000 kepada ketiga-tiga pihak berkuasa itu yang berusia 40 hingga 55 tahun.

Wang tersebut diberikan melalui akaun bank dua syarikat miliknya  sebagai dorongan agar ketiga-ketiga anggota dan pegawai polis itu  tidak mengambil tindakan ke atas pekerja warga asingnya yang tiada dokumen perjalanan.

Tertuduh adalah  pemilik syarikat pembekalan tenaga kerja asing dan dia didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah bank di Hicom Industrial Park, Wisma Anggerik antara Mac 2019 hingga 15 Jun lalu.

Mengikut pertuduhan asal, tertuduh didakwa di bawah Seksyen 17(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta yang sama.

Jika sabit bersalah, tertuduh boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana lebih tinggi.

Bagi pertuduhan pilihan pula, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 214 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah akta yang sama serta jika sabit bersalah boleh dipenjara tidak lebih 15 bulan daripada tempoh penjara maksimum lima tahun atau denda atau dengan kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Fadhli Ab. Wahab menawarkan ikat jamin RM30,000 dengan syarat tambahan pasport tertuduh diserahkan kepada mahkamah selain perlu melapor diri di mana-mana pejabat SPRM berhampiran.

Bagaimanapun, peguam Mohd. Yusri Mohd. Yusoff yang mewakili tertuduh memohon wang jaminan terhadap anak guamnya dikurangkan berikutan perlu menyara dua anak berusia tujuh dan 10 tahun serta ibu bapa di kampung.

Hakim Rozilah Salleh menetapkan ikat jamin RM20,000 dengan seorang penjamin warganegara dan membenarkan syarat tambahan pihak pendakwaan. Mahkamah menetapkan 1 Februari hadapan sebagai tarikh serahan dokumen.- UTUSAN

 





Source link

Comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

News Feed