by

Halim Saad Pro Canselor UTeM yang baharu

News Sources:

KUALA LUMPUR –  Tokoh perniagaan yang juga mantan peneraju utama Kumpulan Renong dan United Engineering Malaysia (UEM) Tan Sri Halim Saad dilantik sebagai Pro Canselor Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) baharu.

Tempoh pelantikan beliau adalah selama tiga tahun berkuat kuasa pada 15 Januari ini hingga 14 Januari 2024.

Halim, 68, menggantikan Datuk Ismail Saleh yang telah tamat tempoh pelantikan beliau.

“Pelantikan ini disempurnakan oleh Canselor UTeM, Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Sri Setia Mohd Ali Mohd Rustam, selari dengan momentum UTeM ke arah kecemerlangan pendidikan teknikal yang kreatif dan inovatif terkemuka di dunia serta Revolusi Industri 4.0,” menurut UTeM dalam satu kenyataan.

Menurut UTeM, Halim memiliki kelulusan Ijazah Sarjana Muda Perdagangan dan Pentadbiran dari Universiti Victoria, Wellington, New Zealand pada tahun 1976 manakala beliau turut menerima anugerah akademik kehormat dari beberapa buah universiti dari dalam dan luar negara.

Antaranya adalah Ijazah Kehormat Doktor Sains, Universi Putra Malaysia (1997), Ijazah Kehormat Doktor Pengurusan, Universiti Teknologi Malaysia (1997), Anugerah Kehormat Khidmat Cemerlang, Universiti Victoria, Wellington, New Zealand (1999) dan Ijazah Kehormat Doktor Perdagangan dari universiti yang sama pada tahun 2015.

Beliau mula berkhidmat sebagai Penganalisis Kewangan di Ford Motor Co. Singapore pada tahun 1978 seterusnya melonjak kerjayanya kepada beberapa jawatan penting seperti Naib Pengerusi Eksekutif di UEM (1986-2001), Projek Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) (1990-1993) dan The New Straits Times Press (M) Berhad (1990-1993).

Selain itu beliau turut menyumbang kepakaran sebagai Naib Pengerusi Eksekutif di Sistem Televisyen (M) Berhad (1990-1993), Kinta Kellas Public Listed Company (1990-2001), Faber Group Berhad (1990-2001) dan Renong Berhad (1990-2001).

Dari aspek kejuruteraan dan pembinaan pula, antara sumbangan besar beliau adalah merancang dan melaksanakan lebuh raya milik swasta pertama dan terbesar di Asia Tenggara iaitu PLUS Highway Bhd pada tahun 1986.

Sementara itu dari aspek pendidikan pula beliau turut berjaya mencipta dimensi baru apabila menjadi pengasas dan menubuhkan Kolej Yayasan Saad (KYS) yang merupakan sekolah berasrama penuh swasta yang pertama dalam negara. – MalaysiaGazette



Source link

Comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

News Feed