by

Hanya segelintir masih degil enggan ikut SOP

News Sources:

PUTRAJAYA: Rakyat Malaysia mulai akur dengan prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang memasuki hari ke-280 sejak dilaksanakan pada 18 Mac lalu.

Perkara itu didedahkan Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, sambil mengucapkan tahniah buat majoriti besar rakyat negara ini yang patuh peraturan ditetapkan. 

Ia ujarnya, berdasarkan kajian dijalankan oleh Universiti Teknologi Mara (UiTM) dari Ogos sehingga bulan ini mengenai tahap pematuhan terhadap SOP norma baharu sepanjang PKP.

“Hasil kajian itu mendapati kadar pematuhan SOP dalam kalangan orang ramai adalah tinggi dengan hanya sebilangan kecil yang masih tidak patuh,” katanya pada sidang akhbar hari ini.

Ismail Sabri memaklumkan 96.7 peratus daripada responden akur SOP dalam isu pemakaian pelitup muka manakala 90 peratus lagi mengakui mereka mengamalkan penjarakkan fizikal.

Sebanyak 88.7 peratus pula mendakwa mereka akan sentiasa mencuci tangan dengan menggunakan sabun atau cecair basmi kuman apabila mempunyai urusan di luar kediaman.

“Secara keseluruhan, saya berasa puas hati kerana 89.2 peratus rakyat Malaysia memiliki kesedaran tinggi patuh SOP terhadap kempen pembudayaan norma baharu,” jelas beliau lagi.

Lebih menarik tambah Ismail Sabri, sejumlah 77.5 peratus rakyat di negara ini merasakan yang peranan ahli masyarakat dalam menangani penularan Covid-19 adalah sangat penting.

Keadaan itu katanya, adalah satu petanda baik bahawa orang ramai sedar mengenai perihal kepentingan pematuhan SOP dalam menjaga keselamatan diri dan anggota keluarga mereka.

“Tahniah saya ucapkan kepada seluruh rakyat. Namun kita mesti meneruskan amalan norma baharu ini seperti yang selalu saya katakan, vaksin terbaik adalah diri kita sendiri,” katanya.

Beliau merujuk laporan media mengenai ramai mengambil kesempatan untuk bercuti bersama keluarga sejak pihak kerajaan mula memberi kelonggaran untuk pergerakan merentas negeri.

Situasi itu jelas Ismail Sabri, menyaksikan banyak kawasan tumpuan pelancongan seperti di Langkawi, Pulau Pinang dan Melaka penuh sesak dengan kehadiran ramai kebelakangan ini.

“Justeru, sekali lagi saya ingin tegaskan untuk semua pihak agar berhati-hati dengan patuh SOP dan jangan sesekali terleka kerana Covid-19 tidak mengenal sesiapa,” tambah beliau. -UTUSAN ONLINE





Source link

Comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

News Feed