by

Hargai usaha guru, beri semangat kepada pelajar

News Sources:

KUALA LUMPUR: Orang ramai diingatkan untuk tidak mengeluarkan kenyataan yang boleh meruntuhkan semangat dan  motivasi murid ketika mereka memperoleh keputusan cemerlang dalam peperiksaan awam termasuk Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Isu berkenaan gred pemarkahan SPM diturunkan juga tidak seharusnya berbangkit kerana dakwaan tersebut sudah wujud sejak sekian lama walhal kesahihannya tidak dapat dibuktikan oleh mana-mana pihak.

SHAMSUKAMA MOHD. ZAHRI

Bercakap kepada Utusan Malaysia, guru dari Sekolah Kebangsaan Kapar, Shamsukama Mohd. Zahri, 45, berkata, dalam keadaan sektor pendidikan berdepan kesukaran akibat pandemik Covid-19, sekarang adalah masa untuk menghargai guru dan murid yang berusaha mendapatkan keputusan cemerlang dalam peperiksaan.

Katanya, bukan mudah untuk mengecapi kejayaan di tengah-tengah mereka terpaksa menggunakan kaedah Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) lebih setahun disebabkan krisis kesihatan yang melanda negara dan seluruh dunia.

“Murid sudah menghadapi krisis emosi yang terlalu lama. Seharusnya, kita menyokong mereka atas usaha mereka selama ini untuk mendapat keputusan peperiksaan yang membanggakan.

“Mereka yang memperoleh gred cemerlang adalah selayaknya mendapat keputusan seperti ini. Jadi tak perlu pertikai  kredibiliti mereka disebabkan gred markah peperiksaan kononnya diturunkan.

“Sebab saya percaya guru juga berusaha keras untuk memastikan murid berjaya dan murid di peringkat ini juga sudah  cukup matang untuk berdikari dalam menimba ilmu pengetahuan,” katanya ketika dihubungi semalam.

Beliau berkata demikian mengulas berkenaan isu penurunan skala gred SPM bagi Maktab Rendah Sains Mara (MRSM)  yang didakwa daripada Kementerian Pendidikan menerusi pautan dihantar pengguna di media sosial sehingga tular  baru-baru ini.

Kejadian itu hadir di tengahtengah semua calon SPM di seluruh negara menerima keputusan peperiksaan masing-masing  pada 10 Jun lalu sehingga merekodkan peningkatan walaupun berdepan kesukaran akibat PdPR.

Skala gred tersebut menggambarkan seolah-olah ia adalah gred pemarkahan sebenar untuk SPM tahun 2020 sehingga mengelirukan orang ramai terutama ibu bapa dan calon SPM.

PENGORBANAN ibU bapa menyediakan peranti untuk membolehkan anak-anak
mereka mengikuti PdPR seolah-olah tidak dihargai apabila ada yang mempertikaikan
keputusan cemerlang diperolehi calon SPM 2020. – MINGGUAN/AMIR KHALID

Antara lain, ada yang mendakwa langkah kerajaan menurunkan gred markah SPM ibarat cuba ‘menyapu’ bawah  permaidani akan masalah pembelajaran melalui kaedah PdPR yang sehingga kini masih bercelaru.

Kementerian Pendidikan kelmarin bagaimanapun mena•fikan skala gred SPM itu bukan milik Lembaga Peperiksaan dan menyifatkan ia telah mencemar imej, kewibawaan dan kredibilitinya sebagai badan pentaksiran negara.

Untuk rekod, Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr. Radzi Jidin berkata, pencapaian SPM tahun lalu dengan Gred Purata  Nasional (GPN) merekodkan sebanyak 4.80 berbanding 4.86 pada 2019.

Semakin kecil nilai GPN, maka pencapaian calon peperiksaan awam adalah lebih baik.

Beliau berkata, prestasi lima mata pelajaran SPM 2020 meningkat iaitu Matematik, Sains, Sejarah, Pendidikan Islam dan  Pendidikan Moral manakala dua Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris menurun.

Mengulas lanjut, Shamsukama yang juga guru mata pelajaran Matematik berkhidmat selama 16 tahun berkata, adalah  lebih baik untuk semua pihak mengenang segala pengorbanan murid yang cekal berusaha walaupun berdepan pelbagai  halangan.

Beliau juga dimaklumkan ada guru yang sanggup memulakan proses PdPR bermula pukul empat pagi dan pada waktu  malam atas permintaan murid.

PENOLONG Kanan KoKurikulum, Cikgu El Gamillo Habibun Tan bersungguh
menjalankan PdPR di rumahnya di Marang, Terengganu untuk memastikan pelajar
berjaya. – MINGGUAN/PUQTRA HAIRRY ROSLI

Malah, menurutnya, perjalanan calon lepasan SPM masih panjang dan apa juga keputusan diperoleh pada peperiksaan itu  tidak seharusnya dijadikan kayu ukur dalam menentukan kejayaan seseorang.

“Jika diimbas kembali, murid sudah menyesuaikan diri dengan kaedah baharu belajar dari rumah. Jika mereka berpeluang melanjutkan pelajar di peringkat lebih tinggi, saya yakin mereka sudah bersedia berdasarkan pengalaman yang mereka  pernah lalui.

“Sekarang ini, teruskan beri semangat kepada mereka untuk meneruskan pelajaran tidak kira apa keadaan yang berlaku  agar mereka terus berjaya dan menjadi insan berguna pada masa akan datang.

“Tentang isu penurunan gred ini, tidak perlu hebahkan lagi. Biarlah ia kekal menjadi khabar angin sahaja kerana tiada pun boleh membuktikan kebenarannya,” katanya. – UTUSAN





Source link

Comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

News Feed