by

Henti keluar kenyataan undang kemarahan -Shahidan

News Sources:

ARAU : Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Seri Shahidan Kassim menggesa segelintir pemimpin parti itu dan pemimpin parti politik lain agar segera berhenti daripada mengeluarkan kenyataan yang boleh mengundang kemarahan rakyat.

Katanya, sesetengah kenyataan yang dikeluarkan itu boleh mengundang salah faham terhadap UMNO sekali gus mendorong orang menyerang parti itu.

Tegas Shahidan, sepatutnya para pemimpin ini mengeluarkan kenyataan yang boleh membuatkan rakyat sayang iaitu berkaitan kebajikan serta keperluan mereka bukan berpolitik menyerang sesama sendiri.

“Mengeluarkan kenyataan menyerang sana sini adalah tidak baik. Hentikan kenyataan yang mempertikai sesama sendiri.

“Rakyat sudah muak dengan cara berpolitik ini sebaliknya mahu melihat sejauh mana kita mampu memberi perhatian kepada usaha menyelesaikan masalah rakyat. Segala masalah berbangkit itu, selesai secara rundingan bukan berbalas serangan.

“Rakyat nak tanya pasal moratorium, KWSP (Kumpulan Wang Simpanan Pekerja), peluang pekerjaan dan sebagainya yang boleh meringankan beban mereka. Tidak seorang pun rakyat semasa saya turun padang menyampaikan bantuan banjir bertanya ‘bagaimana keadaan politik sekarang’, orang sudah tidak mahu terlalu banyak berpolitik,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Sementara itu, Shahidan yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri berkata, UMNO Perlis akan terus memberi perhatian dalam membela nasib rakyat seterusnya menyokong kerajaan Perikatan Nasional (PN) ketika ini.

Dalam masa sama katanya, gesaan untuk diadakan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) dalam tempoh terdekat sangat tidak sesuai sebaliknya fokus ketika ini adalah menyelesaikan masalah rakyat yang terkesan.

“UMNO Perlis yang menyokong penuh kerajaan PN akan terus memberi tumpuan kepada kebajikan rakyat dan usaha ke arah menangani Covid-19 termasuk banjir di beberapa buah negeri ketika ini,” katanya. -UTUSAN ONLINE





Source link

Comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

News Feed