by

Hishammuddin sedia lepas jawatan, UMNO perlu jelas pendirian

News Sources:

PUTRAJAYA: Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein bersedia melepaskan jawatan jika UMNO mahukan semua menteri dalam kalangan parti itu diminta berbuat demikian.

Menurut beliau, dalam perkembangan politik ketika ini, UMNO bagaimanapun sepatutnya mempunyai hala tuju, objektif dan sebab yang jelas dalam merancang jalan ke hadapan parti terutama dalam menentukan kerjasama politik.

Bendahari Agung Barisan Nasional (BN) itu berkata, jika parti berkeputusan untuk tidak meneruskan kerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), maka UMNO harus memutuskan dengan siapa mahu bekerjasama menjelang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

“Adakah dengan DAP? Adakah dengan PKR? Atau bersendirian? Segala pertimbangan yang dibuat parti tidak boleh bersandarkan emosi dan kesan jangka masa pendek.

“Ini kerana keputusan yang bakal dibuat parti akan menentukan jatuh bangunnya UMNO, memberi kesan kepada nilai dan asas perjuangan UMNO dan juga kedudukan UMNO dalam pilihan raya akan datang,” katanya dalam kenyataan hari ini. 

Hishammuddin berkata, perancangan kerjasama politik UMNO harus dibuat dengan teliti kerana pilihan raya bukannya esok. 

Justeru, beliau menjelaskan, UMNO mesti lakukannya dengan penuh tanggungjawab dan kebijaksanaan.

“Iktibar yang harus diambil oleh UMNO adalah kita (BN) hanya menang 79 kerusi pada PRU-14 daripada 133 kerusi yang kita menangi pada PRU-13. Ini bermakna kita kehilangan 54 kerusi. Kita harus insaf dari pengalaman ini,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, Parti UMNO sedang diberi peluang untuk buktikan kepada rakyat bahawa pemimpin parti ini adalah prihatin, berkemampuan dan bersungguh-sungguh untuk mengurus krisis dan menitik beratkan kepentingan rakyat.

Apatah lagi katanya, negara masih berperang dengan Covid-19 di samping beberapa negeri dilanda banjir dan ekonomi negara sedang dipulihkan sedangkan jumlah rakyat yang terkesan semakin meningkat. 

Beliau memberikan contoh pemimpin UMNO diberi amanah mengetuai Kementerian Pertahanan yang  bertanggungjawab terhadap soal keselamatan negara dan menangani penularan Covid-19; mengetuai Kementerian Kesihatan yang memegang tanggungjawab besar memimpin petugas barisan hadapan negara; mengetuai Kementerian Sains Teknologi dan Inovasi yang sedang berusaha keras mendapatkan bekalan vaksin secepat mungkin. 

Justeru, katanya, pemimpin UMNO sepatutnya komited dalam usaha untuk memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat. 

“Pada hemat saya inilah harapan rakyat di bawah pemimpin UMNO. Bukan berpolitik merebut kuasa yang tiada kesudahan. Akhirnya rakyat mual dan hilang keyakinan.

“Kepada ahli Majlis Kerja Tertinggi yang akan bermesyuarat pada malam ini, biar ahli parti dan rakyat jelas apa sebenarnya UMNO inginkan. Putuskanlah yang terbaik,” katanya. – UTUSAN





Source link

Comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

News Feed