by

Hormati fatwa vaksin Covid-19 – Utusan Digital

News Sources:

PUTRAJAYA: Umat Islam diseru menghormati fatwa yang telah diputuskan berhubung pengambilan vaksin Covid-19 di negara ini, tegas Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr. Luqman Abdullah.

Bercakap kepada Mingguan Malaysia, beliau berkata, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan mengambil inisiatif membincangkan isu itu dalam Mesyuarat Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak Wilayah Persekutuan kali ke-2/2021 yang bersidang kelmarin.

“Mesyuarat membuat keputusan bersetuju mengguna pakai resolusi Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam (MKI) ke-10 yang bersidang pada 3 Disember tahun lalu yang menetapkan bahawa hukum penggunaan vaksin Covid-19 adalah harus dan wajib diambil oleh golongan yang ditetapkan oleh kerajaan.

“Keputusan ini adalah selari dengan dalil-dalil seperti firman Allah dalam Surah Al-Baqarah, ayat 195 bermaksud: “Janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam bahaya kebinasaan (dengan bersikap bakhil)”.

“Selain itu, ia berdasarkan hadis Rasulullah SAW bersabda : ‘Tidak boleh melakukan sesuatu yang memudaratkan dan tidak boleh memberikan mudarat kepada orang lain,” katanya di sini semalam.

Menurut Luqman, selain itu, keputusan ini juga disokong oleh kaedah-kaedah fiqh seperti ‘kemudaratan itu mestilah dihilangkan’ dan ‘urus tadbir pemimpin ke atas rakyat adalah berlandaskan kepada maslahah’.

Beliau berkata, resolusi Muzakarah Jawatankuasa Fatwa itu dibuat setelah melalui pelbagai proses perbincangan bersama pihak-pihak yang berautoriti dalam bidang masing-masing.

Tambahan pula, kata beliau, ia juga merupakan salah satu usaha kerajaan dalam memastikan negara Malaysia berjaya mengharungi krisis Covid-19 ini dengan lebih efisien.

“Justeru, marilah kita menjadikan fatwa ini sebagai rujukan yang utama khususnya bagi mendukung usaha para pemimpin negara untuk memerangi pandemik ini dengan lebih berkesan,” katanya. – UTUSAN

 





Source link

Comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

News Feed