by

HSR: Kenyataan Dr. Mahathir tidak bertanggungjawab

News Sources:

PASIR GUDANG: Tindakan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad mengeluarkan kenyataan bahawa projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Singapura bukan satu projek penting adalah tidak bertanggungjawab.

Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim berkata, Dr. Mahathir tidak seharusnya membuat kenyataan sedemikian kerana projek berkenaan membawa manfaat besar untuk jangka panjang terutama pembangunan negara.

Jelasnya, beliau tidak seharusnya mengeluarkan kenyataan demikian hanya kerana projek berkenaan direncanakan semasa pentadbiran bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

“Kalau tidak baik dan tidak bersetuju kenapa semasa beliau (Dr. Mahathir) menjadi Perdana Menteri projek ini tidak dihentikan malah rundingan diteruskan termasuk pembayaran pampasan RM45 juta, jika tidak bersetuju maknanya beliau pun salah.

“Sekiranya tidak setuju kerana projek ini melibatkan kroni-kroni yang dapat, tetapi kita kena akui projek ini bagus,” katanya dalam sidang akhbar selepas menghadiri Program Balik Ke Sekolah Parlimen Pasir Gudang di Pasaraya Borong Sakan, Masai, di sini hari ini.

Semalam, Dr. Mahathir berkata projek HSR itu bukan projek penting dan negara boleh menunggu sekurang-kurangnya untuk tempoh 20 tahun untuk diadakan projek seperti itu selain masa perjalanan yang dapat dijimatkan hanya sekitar 15 minit sahaja.

Pada masa sama, ujar Hassan, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin juga perlu menghormati perjanjian projek yang dilakukan kerajaan terdahulu termasuk mematuhi semua syarat telah dipersetujui antara kedua-dua negara.

Beliau yang juga bekas Pengerusi PKR Johor memberitahu, hal itu termasuklah soal tender yang ditetapkan dalam perjanjian dan apabila projek HSR dibatalkan, Muhyiddin perlu menjawab dakwaan menyatakan Malaysia tidak mahu tender secara terbuka.

“Jadi apa sebenarnya kerajaan (Perikatan Nasional) sekarang ini mahu, mahu ke kontrak projek itu dilakukan tanpa sebarang perbincangan atau tender tidak terbuka, ini akan membawa kepada masalah rasuah.

“Kita kena menghormati perjanjian yang sudah ditandatangani. Ini melibatkan perjanjian antarabangsa, kalau kita nak ubah jajaran atau transit untuk projek ini boleh dibincangkan tetapi jangan sampai dibatalkan,” ujarnya.

Tambah beliau, apabila Malaysia membatalkan keputusan tersebut ia hanya akan memberi gambaran negatif kepada pelabur asing terhadap pembangunan negara.

“Selain itu, jika projek HSR diteruskan tetapi hanya setakat berhenti di Bukit Chagar di sini dan bukan Singapura, ini akan merugikan kerana kemungkinan tiada penumpang tempatan akan menggunakannya,” katanya.

Justeru, beliau berharap kerajaan mengkaji manfaat yang bakal diperoleh termasuk impak terhadap projek Bandar Malaysia yang boleh dihubungkan melalui projek HSR yang menghubungkan Kuala Lumpur dan Singapura. -UTUSAN ONLINE





Source link

Comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

News Feed