by

HSR: Kos pampasan tidak didedah

News Sources:

KUALA LUMPUR: Jumlah pampasan melibatkan pembatalan projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Singapura terikat dengan klausa kerahsiaan dan tidak boleh didedahkan di bawah perjanjian dua hala kedua-dua negara.

Walau bagaimanapun, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, pihaknya akan berbincang de­ngan Singapura untuk mendapat persetujuan bagi berkongsi maklumat mengenai jumlah pampasan tersebut setelah ia dimuktamadkan.

Buat masa ini, Mustapa berkata, kerajaan sedang me­nunggu butiran kos tersebut daripada Singapura dan akan diteliti sebelum disahkan sebaik sahaja diterima.

Beliau turut menjelaskan jenis-jenis tuntutan yang dibenarkan telah pun dipersetujui secara bersama.

“Antara perkara yang ba­nyak dibangkitkan oleh pelbagai pihak ialah pampasan. Walaupun saya amat berkeinginan untuk berkongsi perinciannya, ia tidak dapat dilakukan kerana jumlahnya belum dimuktamadkan lagi.

“Sehubungan ini, saya ingin­ menegaskan bahawa pampasan tersebut bukanlah bersifat punitif tetapi adalah untuk membayar semula kos tertentu projek yang telah dibelanjakan Singapura.

“Justeru itu, sebarang angka mengenai pampasan yang di­sebutkan oleh mana-mana pihak merupakan spekulasi semata-mata,” katanya menerusi laman Facebook rasmi beliau.

Jumaat lalu, Malaysia dan Singapura memutuskan bahawa projek HSR dibatalkan selepas tempoh penangguhan projek itu berakhir 31 Disember lalu.

Dalam kenyataan bersama Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong, kerajaan Malaysia sebelum ini telah mencadangkan beberapa pindaan projek itu berikutan pandemik Covid-19 dengan kedua-dua negara telah mengadakan beberapa perbincangan namun tidak mencapai persetujuan bersama.

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dalam Facebook beliau menganggarkan Malaysia mungkin perlu membayar pampasan sekurang-kurangnya RM310 juta.

Najib malah tidak menolak kemungkinan Singapura mungkin menuntut ganti rugi sehingga RM1 bilion selepas Malaysia bertindak membatalkan projek tersebut.

Mengulas lanjut, Mustapa turut memberi jaminan hubu­ngan dua hala antara Malaysia dan Singapura tetap berjalan lancar walaupun projek HSR telah dibatalkan.

Beliau menjelaskan, kedua-dua negara akan terus bekerjasama rapat dalam mengukuhkan integrasi rentas sempadan bagi memastikan pertumbuhan dan kemajuan ekonomi mampan.

“Sesuai dengan hasrat tersebut, kita akan terus mengadakan perbincangan untuk me­ningkatkan kesalinghubungan antara kedua-dua negara untuk manfaat bersama.

“Kemungkinan untuk meng­hubungkan kedua-dua negara melalui kesalinghubungan berkelajuan tinggi pada masa hadapan akan terus diterokai. Walaupun hasrat ini tidak tercapai sekarang, mungkin satu masa nanti,” jelas beliau.

Cadangan laluan projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Singapura.

Sementara itu, walaupun kerajaan menyifatkan projek HSR Kuala Lumpur-Johor Bahru buat masa ini hanya spekulasi namun, jika dilaksanakan ia masih memberi sinar kepada sektor pembinaan.

Menurut Penganalisis CGS-CIMB, Sharizan Rosely, berdasarkan semakan awal, beliau menjangkakan kajian kebolehlaksanaan projek itu akan dijalankan tahun ini.

Beliau berkata, tumpuan utama akan diberikan untuk me­ngurangkan kos kerja am asal berjumlah antara RM50 bilion hingga RM55 bilion bagi 60 sehingga 70 peratus daripada ke­seluruhan kos pembangunan 350 kilometer HSR, tidak termasuk sistem dan gerabak kereta api.

“Kami percaya kos yang disemak semula bagi HSR jajaran baharu ini tetap tinggi memandangkan jaraknya hanya dikurangkan kira-kira 10 peratus.

“Secara keseluruhan, pe batalan HSR Kuala Lumpur-Singapura berita negatif tetapi menggantikannya dengan HSR Kuala Lumpur-Johor Bahru adalah positif bagi industri kereta api tempatan,” katanya dalam nota kajian semalam. – UTUSAN





Source link

Comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

News Feed