by

Hukum vaksin Covid-19 harus dan wajib – Mufti WP

News Sources:

KUALA LUMPUR – Tanda tanya berhubung hukum penggunaan vaksin Covid-19 yang bakal diberi suntikan kepada umat Islam di negara ini mulai akhir bulan ini terjawab, apabila Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan menyatakan ianya harus dan wajib.

Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr. Luqman Abdullah dalam kenyataannya hari ini berkata, keputusan itu dibuat dalam mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam (MKI) ke-10 pada 3 Disember lalu.

“Mesyuarat telah membuat keputusan bersetuju mengguna pakai resolusi Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam (MKI) ke-10 yang bersidang pada 3 Disember 2020.

“Antara ketetapannya adalah bahawa hukum penggunaan vaksin Covid-19 adalah harus dan wajib diambil oleh golongan yang ditetapkan oleh kerajaan Malaysia,” katanya.

Beliau berkata, selaras dengan dasar kerajaan dalam memerangi wabak Covid-19 di negara ini, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan (PMWP) dengan ini menzahirkan sokongan yang tidak berbelah bahagi serta mendukung sepenuhnya prakarsa pihak kerajaan menerusi pelaksanaan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan yang dijangka bermula penghujung Februari ini.

Kata beliau, rentetan daripada timbulnya pelbagai kekeliruan dalam kalangan masyarakat berhubung pengambilan vaksin itu, PMWP telah mengambil inisiatif bagi membincangkan isu berkenaan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak Wilayah Persekutuan kali ke-2/2021 yang telah bersidang pada 11 Februari 2021.

“Keputusan ini adalah selari dengan dalil seperti firman Allah: “Janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam bahaya kebinasaan (dengan bersikap bakhil)” menerusi Surah Al-Baqarah: 195.

“Sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Sa’id al-Khudri RA bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Tidak boleh melakukan sesuatu yang memudaratkan dan tidak boleh memberikan mudarat kepada orang lain”, Hadis riwayat Ibn Majah: 2340,” katanya.

Selain itu, Dr. Luqman menyatakan, keputusan itu juga telah disokong oleh kaedah fiqh seperti “Kemudaratan itu mestilah dihilangkan” dan “Urus tadbir pemimpin ke atas rakyat adalah berlandaskan kepada maslahah”.

Sementara dari aspek kepenggunaan pula, katanya, hukum keharusan itu turut diputuskan setelah mengambil kira pendirian tegas pihak kerajaan bahawa hanya vaksin yang telah dikenal pasti statusnya sebagai halal dan tayyiban sahaja yang akan digunakan sepanjang pelaksanaan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan ini.

Sehubungan itu, jelas beliau, PMWP menyeru kepada seluruh umat Islam di negara ini khususnya di Wilayah Persekutuan agar menghormati fatwa yang telah diputuskan berhubung pengambilan vaksin Covid-19 di Malaysia.

“Keputusan ini dibuat setelah melalui pelbagai proses perbincangan bersama pihak-pihak yang berautoriti dalam bidang masing-masing.

“Tambahan pula, ia juga merupakan salah satu usaha kerajaan dalam memastikan negara Malaysia berjaya mengharungi krisis Covid-19 ini dengan lebih efisien.

“Justeru, marilah kita menjadikan fatwa ini sebagai rujukan yang utama khususnya bagi mendukung usaha para pemimpin negara untuk memerangi pandemik ini dengan lebih berkesan,” katanya. – MalaysiaGazette



Source link

Comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

News Feed