by

ICC mempunyai bidang kuasa ke atas wilayah Palestin

News Sources:

BAITULMUQADDIS: Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) memutuskan pihaknya mempunyai bidang kuasa ke atas wilayah Palestin yang dijajah oleh Israel dalam perang Asia Barat 1967.

Langkah itu sekali gus menyaksikan ICC boleh membuka siasatan jenayah peperangan terhadap tindakan ketenteraan Israel.

Keputusan itu disambut baik oleh penduduk Palestin manakala Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu pula mengkritik dengan menuduh mahkamah mengamalkan penganiayaan undang-undang. 

Lapor agensi berita AP, Ketua pendakwa raya ICC, Fatou Bensouda pada 2019 memaklumkan bahawa terdapat `asas munasabah’ untuk membuka siasatan jenayah perang terhadap Israel di Semenanjung Gaza serta aktiviti penempatan haram rejim itu di Tebing Barat yang dijajah. 

Beliau bagaimanapun meminta mahkamah untuk menentukan sama ada memiliki bidang kuasa wilayah sebelum meneruskan prosiding berkenaan.

Sebelum ini, Pihak Berkuasa Palestin (PA) yang menyertai ICC pada Januari 2015 dengan menandatangani Statut Rom, telah menggesa satu siasatan dijalankan.

Israel yang bukan merupakan anggota ICC pula memberitahu bahawa mahkamah tidak mempunyai bidang kuasa kerana penduduk Palestin tidak memiliki negara sendiri serta sebarang persempadanan pada masa depan harus diputuskan menerusi rundingan damai.   

Dalam pada itu, ICC dalam satu kenyataan memaklumkan barisan hakim telah memutuskan dengan majoriti bahawa bidang kuasa mahkamah itu berhubung situasi di Palestin meluas sehingga ke wilayah dijajah Israel sejak 1967, iaitu Gaza dan Tebing Barat termasuk Baitulmaqdis Timur.’

Tegas ICC, keputusan itu bukan mengenai soal kenegaraan Palestin tetapi berdasarkan kedudukannya sebagai negara anggota dibawah Statut Rom yang mendasari ICC.

“Kamar ini tidak sama sekali memberi keputusan mengenai pertikaian sempadan di bawah undang-undang antarabangsa mahupun melakukan pra-pengadilan terhadap persoalan mengenai mana-mana persempadanan pada masa depan,” jelas kenyataan itu.

Sementara itu, Perdana Menteri Palestin, Mohammed Shtayyeh menyambut baik keputusan ICC memiliki bidang kuasa ke atas situasi di wilayah Palestin yang dijajah Israel.  

“Keputusan ICC ini adalah satu kemenangan untuk keadilan dan hak asasi manusia, nilai kebenaran, kesaksamaan dan kebebasan serta untuk mangsa dan keluarga mereka. 

“Langkah tersebut juga merupakan mesej kepada pelaku berkaitan bahawa mereka tidak akan terlepas daripada hukuman,” katanya seperti dilaporkan oleh agensi berita Wafa. 

Beliau turut menggesa ICC untuk mempercepatkan prosiding undang-undang berhubung konflik 2014 di Semenanjung Gaza, tahanan Palestin dan peluasan penempatan Israel di Tebing Barat yang dijajah. – AP/AFP





Source link

Comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

News Feed