by

Industri hotel sedia laksana SOP tambahan jika tiada PKP

News Sources:

KUALA LUMPUR – Pengusaha industri perhotelan bersedia melaksanakan Prosedur Operasi Standard (SOP) tambahan asalkan kerajaan tidak melanjutkan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan menarik kembali halangan merentas negeri.

Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Hotel Malaysia (MAH), Yap Lip Seng berkata, PKP yang menghalang perjalanan rentas negeri merupakan salah satu penyumbang terbesar kepada kerugian dihadapi oleh pengusaha hotel sekarang.

Lagipun, menurut beliau, berdasarkan PKP terdahulu, industri perhotelan terbukti mampu mematuhi SOP. 

Justeru, Lip Seng berharap Kementerian Kesihatan (KKM) mengkaji data dan penularan kes akibat industri berkenaan seterusnya mempertimbangkan semula keperluan untuk menghentikan halangan rentas negeri.

“Industri ini memahami rasional PKP tetapi mendesak Menteri Kesihatan melihat kembali statistik dan data terkini, membincangkan hal itu dengan Kementerian Pelancongan, Kesenian & Kebudayaan (MOTAC) sebelum menjatuhkan dan memperluas larangan perjalanan antara negeri.

“Sejak PKP yang pertama Mac yang lalu, industri pelancongan sebenarnya telah membuktikan  telah beroperasi dengan penuh mematuhi SOP dan industri hotel bahkan telah memperkenalkan pensijilan kebersihan dan keselamatannya sendiri, label “Malaysia Bersih & Selamat” yang menggabungkan standard di luar mengikut keperluan  pihak berkuasa kesihatan.

“Industri ini sentiasa bekerjasama dengan MOTAC dan pihak berkuasa kesihatan dan bersedia mematuhi SOP tambahan,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

Selepas mengalami kerugian lebih RM6.5 bilion pada tahun lalu, beliau menjangkakan lebih banyak hotel akan gulung tikar sekiranya PKP dan halangan rentas negeri diteruskan.

Lip Seng berkata, sehingga kini lebih 100 hotel terpaksa menamatkan operasi kerana tidak mampu bertahan sejak PKP tahun lalu.

“Larangan rentas antara negeri yang berlanjutan akan memaksa penutupan lebih banyak hotel,” tambahnya.

Selain bergantung dengan tempoh pelaksanaan, Lip Seng berkata, industri perhotelan dalam negara juga dijangka akan mengalami tekanan sebaik sahaja Program Subsidi Upah berakhir pada Mac 2021 kelak.

“Hotel terpaksa mengurangkan lebih banyak kos operasi termasuk tenaga pekerja. Sekiranya PKP dilanjutkan, lebih banyak hotel akan ditutup.

“Ada dua faktor menentukan hayat hotel, sama ada PKP yang tamat pada 18 Febuari akan dilanjutkan atau tidak. Kalau dilanjutkan, hotel sudah tentu perlu buat keputusan sama ada mampu bertahan tanpa perniagaan atau tidak,” tambahnya lagi.

Untuk rekod, sehingga kini PKP dilanjutkan sehingga 18 Febuari ini sebagai usaha mencegah penularan Covid-19.

Dalam tempoh ini, kerajaan turut melaksanakan halangan rentas negeri. – MalaysiaGazette



Source link

Comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

News Feed