by

Insentif untuk penjawat awam – Utusan Digital

News Sources:

KUALA LUMPUR: Kementerian Pertahanan memberi jaminan akan sentiasa memberikan pelbagai insentif kepada semua anggota perkhidmatan awam supaya lebih maju dalam kerjaya masing-masing.

Selain anugerah perkhidmatan cemerlang, kerajaan akan memberi peluang kepada anggota perkhidmatan awam untuk pencalonan darjah kebesaran bintang dan pingat serta tajaan melanjutkan pengajian dan kenaikan pangkat.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kerajaan juga akan menyediakan kemudahan pinjaman kepada kakitangan seperti pinjaman perumahan dengan kadar faedah lebih rendah berbanding bank-bank iaitu empat peratus melalui Lembaga Pembiayaan Perumahan Sektor Awam (LPPSA).

Menurutnya, baru-baru ini, penjawat awam dari Gred 56 dan ke bawah telah menerima Bantuan Khas Penjawat Awam berjumlah RM600 manakala bagi pesara kerajaan, kerajaan telah mengagihkan bantuan khas sebanyak RM300 kepada mereka yang layak.

“Kerajaan juga ada menyediakan bentuk pinjaman lain seperti pinjaman pembelian komputer riba, motosikal dan telefon bimbit yang tertakluk kepada kelayakan dan syarat yang telah ditetapkan.

“Dengan insentif ini, jelas menunjukkan bahawa kerajaan walau dalam apa pun keadaan tetap menjaga kepentingan dan kebajikan penjawat awam,” katanya dalam ucapan Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang dan Pingat Perkhidmatan dan Pekerti Terbilang Kementerian Pertahanan Tahun 2021 di ibu kota di sini hari ini.

Dalam program itu, seramai 292 orang menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Tahun 2020 yang terdiri daripada kakitangan awam Kementerian Pertahanan dan 45 orang penerima Anugerah Khidmat Cemerlang 2020 yang terdiri daripada anggota tentera diraikan.

Beliau turut menyampaikan ucapan itu khusus untuk 59 warga Kementerian Pertahanan yang telah dan akan bersara pada tahun ini sama ada secara wajib atau secara pilihan.

Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata, menurut Laporan Daya Saing Global (GCR) Edisi Khas 2020, Malaysia berada di tangga kelima dalam penyediaan kerangka perundangan digital manakala di senarai Kedudukan Daya Saing Dunia (IMD), negara ini menduduki tangga ke 26 daripada 63 negara pada tahun lalu.

“Pengiktirafan ini mencerminkan tahap keupayaan dan ketersediaan kita dari segi rangka kerja sistem perundangan ke arah mentransformasikan Malaysia sebagai sebuah negara berteraskan digital dalam semua aktiviti utama kehidupan rakyatnya sama ada iktisad, pendidikan dan sosiobudaya yang digerakkan oleh agensi dan penjawat awam selaku pemudah cara.

“Hasrat ini terserlah menerusi kebolehupayaan penjawat awam mengadaptasi norma baharu dalam pelaksanaan kerja dan penyampaian perkhidmatan secara digital menerusi Dasar Bekerja Dari Rumah yang kali pertama diperkenalkan oleh kerajaan sewaktu bermulanya Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada tahun lalu,” katanya. -UTUSAN ONLINE





Source link

Comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

News Feed