by

Insken fokus lima industri baharu

News Sources:

PETALING JAYA: Institut Keusahawanan Negara Berhad (Insken) menawarkan lima industri baharu bagi memastikan para usahawan dapat menyesuaikan diri dengan amalan norma baharu melalui pelaksanaan program keusahawanan digital tahun ini.

Industri baharu berkenaan yang dimuatkan dalam program Insken Bumiputera Business Coaching (IBBC) merangkumi penjagaan warga emas, sukan dan aktiviti lasak, pusat tuisyen, tadika dan khidmat pengasuh.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Muhamad Firdaus Azharuddin berkata, sasaran itu tercetus setelah mengenal pasti pembangunan produk yang perlu dipertingkatkan selain pemerhatian program dijalankan pada tahun lalu.

Beliau berkata, tahun lalu, sebanyak 15 industri terbabit membimbing usahawan dalam pelbagai bidang antaranya spa, bengkel kereta, katering, jahitan dan inap desa.

“Insken menyasarkan industri baharu ini melihat kepada penyertaan yang tinggi dalam kalangan peserta dan rakyat Malaysia malah boleh dikatakan bebas daripada Covid-19.

“Contohnya industri sukan lasak, saya melihat sektor ini semakin meningkat. Selama ini ia hanya dijalankan oleh syarikat kecil sahaja dan tiada pengalaman. Jadi Insken menjalankannya bagi meningkatkan lagi tahap pengalaman sedia ada.

“Begitu juga di pusat-pusat tuisyen dengan industri baharu lain. Saya merasakan kita berpotensi besar dari segi lonjakan jualan di negara ini,” katanya pada sesi taklimat media mengenai Inisiatif Kelangsungan Usahawan Perindustrian Kecil dan Sederhana (PKS) Sepanjang Pandemik Covid-19 yang diadakan secara maya, di sini hari ini.

Untuk rekod, sorotan tahun 2020 menyaksikan INSKEN melakar kejayaan melalui beberapa pencapaian melebihi sasaran antaranya melatih 78,872 usahawan melalui 390 program latihan yang diadakan secara dalam talian.

Antara lain, sebanyak 452 pekerjaan baharu telah dicipta dan lonjakan hasil jualan keseluruhan mencatatkan sebanyak RM14.9 juta daripada program IBBC malah turut melaksanakan program bimbingan digital dikenali sebagai Online Onboarding Coaching Programme (E-Board) dengan hasil RM456,000 peningkatkan jualan melalui 209 peserta yang menyertai program tersebut.

Dalam pada itu, kata Muhammad Firdaus, Insken menyasarkan seramai 15,000 usahawan yang akan dilatih melalui 336 program latihan tahun ini namun jumlah itu dijangka berganda susulan sambutan mengalakkan daripada usahawan.

“Insken yakin dengan penganjuran program dengan konsep seperti ini dapat memastikan objektifnya tercapai pada tahun ini sekaligus meningkatkan skala perniagaan usahawan terutama dari segi kenaikan jualan,” katanya. – UTUSAN ONLINE





Source link

Comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

News Feed