by

Jasa Khalid cukup besar dalam pembangunan tanah air, industri surat khabar

News Sources:

Jasa Khalid cukup besar dalam pembangunan tanah air, industri surat khabar

ALOR SETAR: Jasa tokoh politik veteran yang juga bekas Pengerusi Eksekutif Kumpulan Utusan, Allahyarham Tan Sri Khalid Abdullah terhadap pembangunan tanah air dan industri persuratkhabaran di negara ini, cukup besar serta menjadi legasi yang dikenang semua pihak.

Presiden Kelab Veteran Utusan Melayu (KVUM), Tan Sri Khalid Yunus berkata, ketegasan Khalid dalam membuat keputusan di sebalik sifat lemah-lembutnya sentiasa membuatkan arwah dihormati ramai.

“Sama ada dalam dunia politik atau surat khabar, arwah sentiasa dihormati dan disegani kawan serta lawan.

“Jasanya kepada Utusan Melayu juga cukup besar terutamanya ketika memegang jawatan Pengerusi Eksekutif Kumpulan Utusan satu ketika dulu,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Terdahulu KVUM diwakili bendaharinya, Azemi Azizan mengadakan kunjungan dan menyampaikan sumbangan khairat kematian kepada balu Allahyarham, Puan Sri Norjannah Khairuddin, 61, di rumahnya di Persiaran Sultan Abdul Hamid, di sini.

Khalid yang merupakan ahli seumur hidup KVUM menghembuskan nafas terakhir pada usia 98 tahun di sebuah hospital swasta di sini akibat sakit tua pada 18 November lalu.

Sementara itu, Norjannah berterima kasih kepada KVUM dan rakan-rakan arwah suaminya yang sentiasa mengenang dan mengingatinya.

“Arwah suami memang sangat sayangkan Kumpulan Utusan serta rakan-rakan yang pernah bersamanya di syarikat itu. Kalau bersembang, sering kali beliau menceritakan pengalamannya ketika bertugas bersama Utusan.

“Di akhir hayatnya pun, beliau akan berusaha untuk bertongkat bagi melayani rakan-rakan lamanya yang datang berkunjung,” katanya. – UTUSAN ONLINE





Source link

Comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

News Feed