by

JDT sambut kehadiran semula penonton dengan kemenanga bergaya – JohorKini

News Sources:

ISKANDAR PUTERI, 3 APR: Johor Darul Ta’zim (JDT) menyambut kehadiran semula 2,000 penonton ke Stadium Sultan Ibrahim di Iskandar Puteri dengan kemenangan bergaya 3-0 ke atas Melaka United FC dalam aksi Liga Super, malam tadi.

la adalah 384 hari sejak kali terakhir pemain ke-12 menikmati kemeriahan di gelanggang keramat skuad Harimau Selatan itu – dan ternyata sesuatu yang amat berbaloi melihat pasukan kesayangan melakar kemenangan keempat musim ini untuk terus mendominasi carta liga.

Pemain pertahanan Adam Nor Azlin mengukir senyuman peminat yang mengamalkan penjarakan fizikal di tempat duduk penonton stadium seawal minit keempat apabila menanduk deras bola hasil sepakan penjuru melepasi penjaga gol Khairul Fahmi Che Mat.

Selang empat minit kemudian, giliran pemain import Brazil Bergson da Silva mencetak nama sebagai penjaring berpunca kesilapan pertahanan Melaka United FC Jang Suk-won yang gagal mengeluarkan bola dari kawasan penalti.

Meskipun perlawanan dikuasai JDT, namun Melaka United FC hampir merapatkan jurang menerusi Sony Norde apabila rembatan deras bekas pemain kebangsaan Haiti dari luar kotak pada minit ke-50 sekadar menggegar tiang tatkala penjaga gol Muhammad Haziq Nadzli sudahpun tertewas.

Bergson melengkapkan kemenangan JDT dengan gol kedua peribadinya pada minit ke-82 selepas menyempurnakan hantaran rendah berkualiti pemain gantian Mohamadou Sumareh dari sebelah kanan.

Pertembungan dua pasukan selatan tanah air itu turut disaksikan Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican yang hadir bagi memantau tahap pematuhan prosedur operasi standard (SOP) protokol pengurusan penonton ditetapkan kerajaan.

Perlawanan itu juga antara dua aksi yang dijadikan sebagai projek perintis protokol pengurusan penonton selain pertembungan antara Kuala Lumpur City FC menentang Sabah FC di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras.

Sementara itu, Kedah Darul Aman FC (KDA FC) merampas kedudukan kedua liga dengan mengumpul 13 mata selepas membenam cabaran pasukan di zon penyingkiran Sri Pahang FC 3-1 yang terpaksa bermain dengan 10 orang di Stadoum Darul Aman, Alor Setar.

Pemain import Herold Goulan dilayangkan kad merah pada minit ke 17 selepas menjatuhkan Kipre Tchetche yang berpeluang meledak gol pembukaan perlawanan.

Kesempatan itu dimanfaat sepenuhnya skuad bimbingan Aidil Sharin Sahak untuk mendominasi perlawanan sebelum kapten pasukan Baddrol Bakhtiar meledak gol pembukaan pada minit ke 36, namun Sri Pahang FC pantas menyamakan kedudukan lima minit kemudian menerusi Nuhannad Nur Izzat Che Awang.

Penyerang import dari Liberia Kpah Sherman meletakkan KDA FC kembali di hadapan pada awal babak kedua perlawanan sebelum Baddrol menjaringkan gol kedua peribadinya pada minit ke-70 untuk mengesahkan kemenangan pasukan.

Pada masa sama, Terengganu FC jatuh ke kedudukan ketiga apabila sekadar seri tanpa jaringan ketika melayan kunjungan Petaling Jaya City FC di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Kuala Terengganu.

Dalam pada itu, aksi tunggal Liga Premier menyaksikan Perak FC Il menamatkan episod empat kekalahan berturut-turut selepas bangkit mencatat kemenangan dramatik 4-3 ke atas Selangor FC 2 di Stadium Perak, Ipoh.

Bernama



Post Views:
2





Source link

Comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

News Feed