by

Jiwa saya tetap bersama Crossfire – Aim

News Sources:

Bagi peminat rock tegar, kumpulan Crossfire yang berasal dari selatan tanah air ini sering dijadikan idola. Lagu-lagu ‘berhantunya’ seperti Realiti Dan Fantasi, Setelah Kau Tiada, Nyata Bukan Ilusi dan Hasrat merupakan antara ‘killer song’ yang mengangkat nama mereka. Tidak keterlaluan mengatakan kumpulan ini berjaya menghimpunkan puluhan lagu hits dalam keseluruhan album yang pernah diterbitkan.

Bukan ingin memuji, terbukti kala ini lagu-lagu Crossfire bukan sahaja masih berkumandang di corong-corong radio tempatan, malah menjadi lagu pilihan untuk para rockers ‘menguji vokal’ di majlis kenduri kahwin serta pusat-pusat karaoke.

Itulah kehebatan kumpulan yang mula bertapak pada awal tahun 1989 ini. Mingguan Malaysia berjaya menjejak vokalisnya, Abdul Halim Hussin, 53, atau nama pentasnya, Aim Crossfire yang kini bermastautin di Batu Pahat, Johor. Bersama Khabar Legenda dia sempat meluangkan masa berkongsi cerita tentang kisah silam dan kehidupan terkininya.

“Pada awalnya saya membina nama bersama Crossfire setakat tiga buah album sahaja. Namun saya join semula ketika pembikinan album keenam. Alhamdullillah peminat mengingati saya gara-gara lagu yang dinyanyikan ‘meletup’ dan kekal hits sehingga kini.

“Saya tinggalkan Crossfire kerana masalah kesihatan. Seterusnya pulang semula ke Batu Pahat dan menjalankan perniagaan kraftangan di sana. Hampir dua tahun juga saya pencen daripada menyanyi walaupun dapat tawaran sebagai vokalis untuk beberapa buah kumpulan rock ‘bernama besar’.

“Jujurnya saya ada pendirian. Saya janji pada diri sendiri untuk tidak berhijrah ke mana-mana kumpulan lain. Jiwa saya tetap bersama Crossfire. Jika saya pernah dikenali bersama kumpulan ini, jadi biarlah karier juga tamat bersama kumpulan ini. Biar peminat ingati saya sebagai sebagai Aim Crossfire,” katanya membuka bicara.

Saat selesa dengan kerjaya baharunya, tanpa disangka rakan lamanya, Burn yang merupakan pemain gitar kumpulan Crossfire datang menyapa dan meminta bantuannya menyumbangkan lirik untuk dua buah lagu baharu yang bakal dimuatkan dalam album kelima Crossfire, berjudul Ilustrasi yang bakal diterbitkan.

“Setelah siap lirik tersebut, lain pula jadinya. Burn pujuk saya untuk nyanyikan lagu tersebut. Katanya tidak salah jika saya menyumbangkan empat lagu untuk album tersebut memandangkan saya juga merupakan penyanyi asal Crossfire. Selain itu ia juga merupakan penghormatan buat peminat yang masih setia bersama kumpulan itu.

“Pada tahun 1997, saya kembali meneruskan legasi bersama Crossfire dan merakamkan album keenam berjudul Konservatif selepas vokalisnya menarik diri. Ketika kontrak bersama syarikat rakaman MSO tamat, Crossfire dilamar oleh syarikat rakaman Fantasia Music City (FMC). Ketika itu hanya tinggal saya dan Burn sahaja. Anggota lain semua undur diri kerana pelbagai komitmen.

“Kami tanya FMC macam mana nak promote album kalau hanya tinggal berdua. Mereka beri idea kepada kami, nanti bila nak photoshoot album panggil rakan yang ada imej rock untuk ambik gambar sekali. So, kami pun setuju. Akhirnya kami ajak kawan yang berniaga burger shoot gambar band. Konon-konon macam line-up terbaru Crossfire,” katanya ketawa.

Perancangan yang tidak diduga akhirnya membuahkan hasil lumayan. Album Battle Of Metal keluaran FMC berjaya dijual melebihi angka 150,000 unit sehingga melayakkan Crossfire menerima anugerah platinum atas kejayaan jualan album.

Pada penghujung 90-an, Aim kembali bermastautin di kampung halamannya di Batu Pahat setelah irama rock dilihat kurang mendapat sambutan. Ketika itu kesihatannya mula merosot secara mendadak gara-gara kaki kirinya yang mengalami masalah saraf. Jika dahulu dia boleh bergerak aktif tetapi kini terpaksa menggunakan tongkat untuk membantunya berjalan.

“Saya terlantar hampir tiga bulan. Berat yang dahulunya hampir 120 kilogram (kg), tiba-tiba susut hampir 40 kg. Saya ke hospital buat pemeriksaan, namun doktor sahkan saya tidak menghidap sebarang penyakit. Waktu tu badan dan anggota cukup lemah sehingga solat pun terpaksa duduk.

“Atas pertolongan rakan-rakan saya diperkenalkan dengan beberapa individu yang menjalankan perubatan islam. Alhamdullillah, semakin lama beransur baik, badan pun dah kembali segar walaupun ada ketikanya masih lagi menggunakan tongkat untuk bergerak ke sana sini.

“Sakit ni datangnya macam ribut, perginya macam siput. Bagi saya apa yang berlaku ada hik­mahnya. Mungkin ujian dari Allah SWT untuk saya renung kembali segala kesilapan di zaman silam. Muhasabah diri dengan apa yang berlaku dan saya redha atas ketentuan Allah SWT,” katanya.

Melihat bakat yang masih bersisa dalam diri ketika ini, seorang rakan karib yang dikenali sebagai Macha, memberi cadangan untuk dia kembali meneruskan perjuangan muziknya. Walaupun pada mulanya dia menolak, namun semakin ramai rakan-rakan lama yang menyokong untuk dia kembali aktif.

“Alasan mereka tidak salah untuk kembali menyanyi walaupun imej saya sudah berserban dan bukan lagi rock kapak. Dalam muzik masih boleh berdakwah. Ramai penyanyi di luar sana sudah buktikan dan peminat hari ini sudah boleh terima.

“Atas desakan rakan-rakan maka lahirlah mini album baharu saya berjudul ‘Bahath’ yang bermaksud mencari jawapan atau arah pencarian. Naskah ini mengandungi lima lagu yang hampir keseluruhan mengekalkan keaslian muzik Crossfire.

“Tetapi saya buat sedikit kelainan, apabila track (lagu) ketiga dalam mini album ini saya gabungkan pelbagai genre. Sebagai anak jati Johor rugi rasanya jika saya tidak mengangkat dan memertabatkan keaslian seni dan budaya masyarakat jati Johor. Bagaimana? Peminat kena dapatkan mini album ini dan nilaikan sendiri. Apa yang saya boleh katakan lagu ini cukup unik dan menghiburkan,” katanya.

Zaman kegemilangan bersama Crossfire

Sebagai kumpulan rock yang berstatus ‘otai’, Crossfire tidak pernah mengecewakan peminatnya. Ribuan penonton sanggup datang bersesak-sesak dan membanjiri lokasi persembahan mereka. Menyajikan lagu-lagu yang berkonsep heavy metal menjadikan kumpulan ini ‘wadah’ untuk mereka head banging.

“Memori indah yang tidak mungkin saya lupakan ketika kami membuat persembahan di utara tanah air. Sebelum kami perform malam itu ada sebuah kumpulan trash metal yang beraksi sebagai ‘band opening’. Mereka main lagu trash metal dan penonton beri sambutan yang cukup luar biasa.

“Kami berkata dalam hati, boleh ke mereka ini layan muzik Crossfire? Rupanya sangkaan kami meleset. Sebaik sahaja kami perform, mereka semua berikan sokongan kepada kami . Bayangkan kawasan konsert yang bersaiz dua padang bola sepak dipenuhi penonton. Saya menggigil kerana tak pernah terima sambutan sebegitu. Malam itu memang malam Crossfire,” katanya.

Cerita sambutan peminat tidak habis di situ sahaja. Ketika melakukan konsert jelajah di Sarawak sekali lagi perkara yang tidak dijangka berlaku. Penganjur terpaksa meminta kumpulan ini beraksi dua kali di lokasi sama gara-gara ribuan peminat yang tidak dapat menonton persembahan mereka kerana tiket sudah habis dijual.

“Selepas show di Kuching, kami menjelajah ke beberapa daerah lain seperti Bintulu, Miri dan sebagainya. Namun ketika kembali semula ke Kuching untuk pulang ke Kuala Lumpur, penganjur minta kami batalkan penerbangan balik. Dia minta kami perform sekali lagi di Kuching kerana menurutnya tempoh hari ramai peminat yang tidak boleh masuk kerana tiket habis.”

“Jadi untuk tidak mengecewakan penganjur kami pun perform sekali lagi di Kuching. Nak jadikan cerita sekali lagi tiket habis dan ramai yang tidak dapat tonton persembahan kami. Tak sangka begitu ramai peminat Crossfire waktu tu.” katanya mengakhiri perbualan.

Kepada peminat yang ingin mendapatkan mini album Aim Crossfire berserta poster terbaharu boleh hubungi saudara Ismail Khamis di talian: 019-7226291.

 





Source link

Comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

News Feed