by

JPA sedia semak Pekeliling, Surat Pekeliling selaras keperluan semasa

News Sources:

PUTRAJAYA: Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) akan menyemak semula Pekeliling dan Surat Pekeliling sedia ada bagi memastikan ia relevan dan bertepatan dengan keperluan semasa.

Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Mohd. Khairul Adib Abd. Rahman berkata, beliau juga menggesa agar semua pihak di peringkat kementerian, jabatan, agensi kerajaan sama ada di persekutuan, negeri atau daerah supaya melihat semula prosedur sedia ada supaya ia dapat ditambah baik.

Beliau berkata, semakan semula prosedur-prosedur semasa itu penting bagi meningkatkan produktiviti dan penyampaian perkhidmatan kerajaan.

“Semakan semula terhadap prosedur-prosedur semasa selari dengan hasrat kerajaan ke arah sistem yang berteraskan kerajaan digital, adaptasi digital dalam norma baharu perkhidmatan awam telah diperluaskan.

“Kami (JPA) menyahut saranan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bagi memperkasakan penyampaian perkhidmatan awam menerusi semakan semula prosedur sedia supaya ia bersesuaian dengan keadaan dan situasi semasa,” katanya menerusi kenyataan akhbar hari ini.

Katanya, JPA secara berterusan sentiasa menyemak Pekeliling dan Surat Pekeliling sedia ada bagi memastikan ia relevan dan bertepatan dengan keperluan semasa.

Mohd. Khairul berkata, semua Pekeliling dan Surat Pekeliling Perkhidmatan yang telah melalui proses semakan semula, penambahbaikan dan penggabungan Pekeliling turut dimuat naik ke portal JPA menerusi MyPPSM (Pekeliling Perkhidmatan Sumber Manusia) bagi tujuan rujukan.

Menurutnya, pemantapan sumber manusia perkhidmatan awam adalah salah satu daripada empat faktor utama dalam perubahan yang sedang dilaksanakan bagi memantapkan penyampaian perkhidmatan.

“Selain daripada faktor tersebut, tiga faktor utama yang lain ialah pemantapan proses, penggunaan teknologi dan kelestarian kewangan,” katanya.

Sebelum ini, Muhyiddin berkata, beliau mahu prosedur yang merumitkan dalam urusan perkhidmatan awam diubah dan ditambah baik bagi memperkasakan lagi keupayaan sektor awam dalam situasi mencabar luar biasa ketika ini.

Beliau berkata demikian pada Majlis Perjumpaan Khas Perdana Menteri Bersama Penjawat Awam Sarawak di Ranyai Ballroom, Hotel Waterfront, Kuching, Sarawak, semalam.

Muhyiddin menyifatkan pekeliling ditetapkan setiap jabatan dan agensi ketika ini sudah baik dan teratur, namun dalam situasi mencabar khususnya ketikan penularan Covid-19, ia perlu ditambah baik.

Beliau juga mahu prosedur yang menjadi penghalang sehingga melewatkan sesuatu keputusan perlu diubah dan diperkemaskan dengan segera.- UTUSAN ONLINE





Source link

Comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

News Feed