by

Juruteknik bangunan JKR didakwa terima rasuah

News Sources:

SEREMBAN: Seorang juruteknik bangunan Jabatan Kerja Raya (JKR) didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menerima rasuah wang tunai berjumlah RM5,000 bagi pembinaan sebuah dewan badminton di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Rantau, tujuh tahun lalu.

Mengikut pertuduhan, Abdul Halim Abdullah, 44, didakwa menerima suapan tersebut daripada sebuah syarikat pembinaan sejak Februari hingga Mei 2013 sebagai balasan bagi kerja-kerja pemantauan dewan badminton sekolah berkenaan selain menyediakan ringkasan tuntutan interim bulanan.

Bagi pertuduhan pertama, Abdul Halim yang ketika itu bertugas sebagai juruteknik bangunan JKR didakwa menerima wang tunai RM1,000 menerusi pindahan wang dari sebuah bank di Kuala Klawang, Jelebu pada 8 Februari 2013.

Bagi pertuduhan kedua, Abdul Halim didakwa menerima wang tunai RM1,000 juga daripada syarikat pembinaan tersebut di sebuah bank yang sama pada 1 Mac 2013.

Seterusnya bagi pertuduhan ketiga dan keempat, dia didakwa menerima masing-masing wang tunai berjumlah RM1,000 pada 27 Mac 2013 dan RM2,000 pada 7 Mei 2013 di lokasi bank sama.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas kesemua empat pertuduhan itu yang dibacakan di hadapan Hakim, Madihah Hairullah.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda, atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Zainab Yahaya menawarkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin terhadap tertuduh.

Tertuduh kemudian memohon agar jaminan dikurangkan atas alasan mempunyai dua  anak yang masih bersekolah selain mempunyai masalah kesihatan.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM10,000 bagi kesemua empat pertuduhan dan kes disebut semula 21 Januari ini. – UTUSAN ONLINE 





Source link

Comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

News Feed