by

Kaji skim gaji pasukan keselamatan

News Sources:

BIDOR: Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) digesa mengkaji semula skim gaji anggota pasukan keselamatan seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) agar struktur gajinya selaras dengan risiko tugas serta tanggungjawab yang dipikul.

Ini kerana penugasan yang diberikan kepada anggota kedua-dua pasukan ini berbeza dengan penjawat awam lain termasuk risiko kehilangan nyawa semasa bertugas.

Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Pengaman Malaysia, Datuk Kamaruddin Mat Desa berkata, sudah tiba masanya agar skim perkhidmatan pasukan itu diukur secara berasingan dan bukan bersandarkan pada kelulusan semasa mereka menyertai perkhidmatan.

Menurut beliau, SPA perlu berlaku adil kerana cabaran pasukan keselamatan ini sememangnya berisiko selain akta perkhidmatan yang menetapkan mereka agar bersedia untuk bertugas sepanjang masa dan boleh dikerah pada bila-bila waktu.

“Mana ada sektor pekerjaan dalam perkhidmatan awam yang menetapkan peraturan sebegini kecuali polis dan tentera. Walau pun mereka memilih kerjaya ini atas dasar sukarela tetapi skim gaji perlu disemak dan tidak dilihat berat sebelah.

“Biarpun SPA ada memperuntukkan elaun-elaun bagi penugasan tertentu kepada polis dan tentera tetapi ia bukanlah dalam skim gaji, sedangkan jumlah pencen yang mereka terima apabila bersara kelak adalah mengikut gaji akhir,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita semasa ditemui pada Majlis Lawatan Kebajikan Yayasan Pengaman Malaysia di Batalion 3 Pasukan Gerakan Am (Bn 3 PGA) Senoi Praaq di sini hari ini.

Pada majlis tersebut, beliau telah menyampaikan sumbangan kepada wira Senoi Praaq, Sarjan Norihan Tari dan mendiang Sarjan Baharuddin Ramli yang diterima isterinya, Relow Ko.

Menurut Kamaruddin, SPA boleh merombak amalan ketika ini yang menggunakan sijil kelulusan berasaskan kedudukan semasa apabila menyeragamkan skim gaji polis dan tentera sama seperti penjawat awam lain dengan taraf akademik yang sama.

Beliau berkata, ini kerana bidang pekerjaan mereka amat berbeza, sebagai contoh antara anggota polis berpangkat Konstabel berkelulusan Sijil Pelajaran Malaysia dan kerani perkhidmatan awam dengan kelulusan serupa.

“Begitu juga dengan Senoi Praaq, mereka bukan masyarakat Orang Asli sebarangan, mereka adalah orang perang. 

“Senoi Praaq adalah pasukan berperang. Keberanian mereka memang telah terbukti, sebab itulah kita memilih mereka dan pasukan tersebut ditubuhkan,” katanya. -UTUSAN ONLINE





Source link

Comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

News Feed