by

Kaki pancing tidak tunggu lama lepas gian

News Sources:

GEORGETOWN: Kumpulan kaki pancing di negeri ini tidak menunggu lama untuk ‘melepaskan gian’ masing-masing sebaik sahaja kerajaan membenarkan semula aktiviti itu bermula hari ini.

Tinjauan Utusan Malaysia mendapati, ada dalam kalangan mereka mengambil peluang sempena cuti Tahun Baharu Cina hari ini  menempah bot pancing untuk membawa mereka ke bawah tiang Jambatan Pulau Pinang dan berhampiran Pulau Jerejak, di sini seawal pukul 8 pagi tadi.

Seorang kaki pancing, Mohd. Saiful Abdul Halim, 30, berkata, keputusan kerajaan membenarkan semula aktiviti memancing itu paling ditunggu-tunggunya sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 13 Januari lalu.

Menurut bapa kepada seorang cahaya mata lelaki itu, memancing merupakan aktiviti riadah yang sering dilakukan bersama isterinya, Noraini Hashim sejak tiga tahun lalu.

“Kami berdua sanggup datang dari Farlim, Ayer Itam ke Jeti Nelayan Batu Uban seawal pukul 8 pagi tadi semata-mata mahu melepaskan gian memancing setelah hampir sebulan  menyangkut rod dan tali pancing.

“Kami berasa puas kerana dapat memancing walaupun langsung tidak memperoleh sebarang hasil sehingga petang ini. Sekurang-kurangnya kami berasa lega dapat melepaskan tali pancing ke laut.

“Sebelum ini, hasil tangkapan ikan akan dijadikan hidangan untuk kami seisi keluarga termasuk keluarga mentua,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini hari ini.

Sementara itu, seorang tekong bot, Mohd. Sobri Karim, 35, memberitahu, pengendali bot pancing kini boleh menjana semula pendapatan yang sebelum ini terjejas teruk berikutan pelaksanaan PKP 2.0.

Katanya, sejak pukul 8 pagi ini, dia membawa kira-kira 16 kaki pancing secara bergilir-gilir ke tiang bawah Jambatan Pulau Pinang dan Pulau Jerejak seawal pukul 8 pagi ini.

“Bilangan kaki pancing sempena cuti umum Tahun Baharu Cina hari ini berkurangan dan tidak seperti sebelum ini, mungkin disebabkan masih tidak dibenarkan merentas daerah dan negeri.

“Kami berharap tiada lagi arahan menghentikan sementara aktiviti memancing  disebabkan kami juga antara individu yang terjejas teruk sehingga hilang punca pendapatan,” ujarnya.

Jelas Sobri, dia dan seorang lagi rakannya yang hanya mahu dikenali sebagai Amin ialah tekong sepenuh masa dan hanya bergantung kepada pembayaran gaji mingguan.

“Disebabkan pelaksanaan PKP sebelum ini juga, saya terpaksa melakukan aktiviti memukat di pesisir pantai dan membantu nelayan mencari sumber ikan di laut bagi menyara keluarga,” katanya. –  UTUSAN ONLINE





Source link

Comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

News Feed