by

‘Kalau sudah tidak mahu bersama UMNO, cakap elok-elok’

News Sources:

PASIR SALAK: Keputusan Pas untuk terus mengukuhkan kerjasama dalam Perikatan Nasional (PN) bersama Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) tidak ubah seperti mahu meninggalkan UMNO.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman menyifatkan Pas mahu ‘menceraikan’ UMNO kerana sudah dapat teman baru yang lebih baik.

Menurutnya, Pas mungkin lupa bahawa penyatuan ummah menerusi Muafakat Nasional (MN) yang diasaskan bersama UMNO dan Pas telah membawa kekuatan baharu kepada politik Melayu.

“Sekarang mereka mahu tinggalkan UMNO, teman lama yang banyak berjasa. Mereka sudah nak ‘menceraikan’ kita, mungkin sudah dapat teman baru yang lebih baik.

“Kalau sudah tidak mahu bersama UMNO, cakap elok-elok. Kita boleh berpisah secara baik dan semasa PRU (pilihan raya umum) kita bersilatlah sesama kita,” katanya dalam sidang akhbar selepas hadir majlis perasmian Balai Bomba dan Penyelamat Kampung Gajah di sini hari ini.

Tajuddin turut mengingatkan kepimpinan Pas agar berhati-hati mengeluarkan kenyataan melibatkan hubungan parti itu dan UMNO.

Beliau berkata, sebagai rakan politik UMNO dalam MN, Pas perlu berhemah dalam menyatakan pendirian mereka tentang hubungan dua parti itu dalam gagasan berkenaan.

“Saya mahu ingatkan, tolong jaga sikit kenyataan, jangan keluar kenyataan ikut sedap sahaja,” katanya.

Pas dan Bersatu terus mengukuhkan hubungan malah Bersatu dan Pas Perak mengumumkan parti itu telah bersetuju untuk menubuhkan jawatankuasa bersama dalam persiapan menghadapi PRU-15.

Dua parti itu juga mengenal pasti kerusi-kerusi yang berpotensi untuk ditandingi di peringkat negeri dan membentuk jawatankuasa manifesto bagi PN negeri Perak.

Dalam kenyataan bersama Ketua Badan Pimpinan Bersatu Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dan Pesuruhjaya Pas Perak, Razman Zakaria berkata, perkara itu dipersetujui bersama tanpa memberi fokus kepada keputusan parti lain.





Source link

Comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

News Feed