by

Kami nyaris ‘bungkus’, terima kasih kerajaan

News Sources:

JOHOR BAHRU: Perniagaan pusat kecergasan yang dibina sejak tujuh tahun lalu nyaris ‘rebah’ setelah kerajaan melarang premis itu beroperasi bermula 13 Januari lalu susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan kali kedua ketika ini.

Namun, kelonggaran membenarkan pusat kecergasan atau gimnasium beroperasi semula dengan prosedur operasi standard (SOP) ketat sejak Jumaat seakan memberi nafas semula kepada pengusaha yang setiap hari runsing memikirkan perniagaannya tidak dapat beroperasi.

Pemilik Fantastic Fitness, Amin Razak, 33, berkata, dia bersama rakan kongsi terpaksa mencari alternatif lain untuk menyelamatkan perniagaan tersebut sekiranya gimnasium masih tidak dibenarkan beroperasi semula.

Berkongsi kepada Utusan Malaysia, pemuda itu berkata, mereka perlu menanggung sewaan premis bangunan yang mencecah ribuan ringgit bagi tiga lot kedai yang dijadikan pusat kecergasan berkenaan.

“Pengumuman pada hari Khamis lalu cukup melegakan kami yang nyaris ‘bungkus’ setelah berdepan PKP kali kedua, kami pernah melalui perkara itu pada Mac tahun lalu selama beberapa bulan dan syukur masih mampu bertahan tetapi tidak pasti untuk kali ini.

“Jika kami dapat tawarkan perkhidmatan secara dalam talian atau penghantaran, kami akan akur sekiranya kerajaan masih tidak benarkan gimnasium beroperasi lagi buat masa ini tetapi kami amat perlukan pelanggan untuk terus menghidupkan perniagaan ini,” katanya ketika ditemui di Taman Daya, di sini hari ini.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan, gimnasium antara beberapa aktiviti sukan yang dibenarkan beroperasi disamping permainan golf, badminton dan permotoran.

Tambah Amin, mereka sentiasa mengamalkan pematuhan SOP yang ketat termasuk melakukan semburan pembasmi kuman secara kerap bagi membendung penularan pandemik Covid-19 selain mewajibkan pendaftaran pengunjung menggunakan aplikasi MySejahtera.

Sementara itu, seorang pengunjung, Azrin Mustapha, 49, berkata, dia turut gembira apabila kerajaan mengumumkan kelonggaran kepada premis gimnasium beroperasi semula seperti sedia kala.

“Sudah hampir sebulan tidak dapat pergi ke gimnasium, memang bersenam boleh dilakukan di mana-mana tetapi tidak sama dengan peralatan yang disediakan di gimnasium apatah lagi kami juga membayar yuran secara bulanan,” ujarnya.

Bagi Muhammad Syaffiq Ismail, 29, pula, aktiviti kecergasan di gimnasium bukan semata-mata untuk membina otot badan tetapi pada masa mampu meningkatkan imunisasi untuk melawan penyakit.

“Apabila duduk di rumah sahaja, keinginan untuk bersenam agak berkurang sehingga menyebabkan badan menjadi letih dan lesu, tetapi sebaik dibenarkan saya terus menghubungi gimnasium untuk bertanyakan sama ada mereka sudah beroperasi,” katanya. – UTUSAN ONLINE





Source link

Comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

News Feed