by

Kawat setuju cadangan petugas media barisan hadapan

News Sources:

KUALA TERENGGANU: Kelab Wartawan Media Terengganu (Kawat) menyokong cadangan supaya petugas media diiktiraf sebagai barisan hadapan dan menjadi antara golongan terawal menerima vaksin Covid-19.

Presidennya, Khairul Azlam Mohamad berkata, sudah tiba masanya petugas media diberi mandat besar itu kerana bidang pekerjaan mereka yang terdedah kepada risiko wabak.

“Jika tiada wartawan dan petugas media di lapangan, tentunya tiada laporan berita tentang kes Covid-19 di negara ini.

“Sehubungan itu, Kawat menyambut baik sebarang cadangan agar warga media diiktiraf antara kumpulan petugas barisan hadapan dalam memerangi pandemik,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Baru-baru ini, Tokoh Wartawan Negara, Tan Sri Johan Jaaffar dan Ketua Pegawai Eksekutif Malaysian Press Institute (MPI), Datuk Chamil Wariya meminta pihak berkuasa dan kerajaan mengiktiraf petugas media cetak, media elektronik dan jurufoto sebagai barisan hadapan Covid-19.

Berdasarkan Pelan Imunisasi Kebangsaan Covid-19 yang bermula 26 Februari ini, fasa pertama penerima melibatkan golongan barisan hadapan iaitu kakitangan Kementerian Kesihatan yang terdedah kepada wabak di samping petugas keselamatan seperti Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam (APM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) dan beberapa kategori lagi yang ditetapkan kerajaan. – UTUSAN





Source link

Comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

News Feed