by

Kebajikan hidupan liar di jalan raya

News Sources:

JALAN raya merupakan salah satu hasil binaan manusia yang sangat penting dalam membantu manusia mencapai kemajuan. Jalanraya penting bagi menjadi penghubung antara dua
tempat dan mampu memberikan impak yang positif bagi pertumbuhan eknomi sesebuah negara. Akan tetapi, proses pembinaan jalan raya memerlukan pengorbanan yang besar
terutamanya terhadap alam sekitar apabila hutan terpaksa ditebang dan habitat haiwan terpaksa dicerobohi. Ini dapat dilihat apabila kebanyakan jalan raya dibina merentasi hutan dan belantara yang pada asalnya menjadi tempat kediaman bagi hidupan liar.

Akibatnya, hidupan liar terpaksa menjadikan jalan raya sebagai sebahagian dari kehidpuan mereka. Namun,hidupan liar tidak mampu untuk beradaptasi dan telah mencetuskan isu
baharu yang mengancam kehidupan mereka. Hari ini, hidupan liar berdepan ancaman kemalangan yang meragut nyawa mereka dan juga pengguna jaln raya. Kadangkala, haiwan yang menjadi korban merupakan haiwan yang diancam kepupusan. Sudah terang lagi bersuluh, pembinaan jalan raya di malaysia tidak mesra kepada hidupan liar dan mungkin nasi akan menjadi bubur jika kita semua tidak melakukan sesuatu tentang perkara ini.

Kebajikan haiwan

Bagi melindungi hak haiwan terutamanya di jalan raya, siapa lagi yang berhak memainkan peranan tersebut selain dari kita manusia sendiri yang telah dilantik sebagai Khalifah untuk
mentadbir dunia ini. Allah telah berfirman di dalam Al-Quran: “Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada malaikat: “Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di bumi” (Surah Al-Baqarah, ayat 30). Allah juga telah berfirman lagi di dalam surat al-Anbiya’ ayat 107: “Dan kami tidak mengutus kamu (Muhammad) melainkan untuk (menjadi) rahmat bagi semesta alam”.

Oleh itu, sudah menjadi tanggungjawab kita sebagai seorang Khalifah, lebih lebih lagi dengan makhluk lain yang berkongsi bumi yang sama diciptakan oleh Allah dan sepatutnya menjadi rahmat kepada semua. Kegagalan kita dalam melindungi hak haiwan dan menjayakan perkongsian hidup bersama fauna akan menjadi bukti kegagalan kita sebagai Khalifah.

Kematian haiwan di lebuh raya

Sejak pembinaan lebuh raya yang merentasi kawasan dengan kepadatan hidupan liar yang tinggi, kes-kes mengenai kemalangan haiwan mencatatkan bilangan yang tinggi setiap
tahun. Sehingga kini, masih terdapat hidupan liar yang menjadi mangsa di jalan raya. Menurut data yang dikeluarkan oleh Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara
(Perhilitan), sebanyak 2,055 ekor pelbagai spesies hidupan liar direkodkan mati dilanggar di jalan persekutuan, jalan negeri dan lebuh raya sejak tahun 2015 hingga 2019.

Apa kata undang-undang

Di Malaysia, undang-undang mengenai haiwan ditunjangi oleh tiga akta utama, iatu Akta Haiwan 1953, Akta Kebajikan Haiwan 2015 dan Akta Hidupan Liar 2010. Ketiga-tiga Akta ini menggariskan dan melindungi hak haiwan. Akta Kebajikan Haiwan tentunya yang paling utama melindungi hak haiwan dari segi kekejaman haiwan yang memeperuntukkan di bawah Seksyen 29 hukuman denda tidak kurang RM20,000 dan tidak lebih RM 100,000 atau penjara untuk tempoh tidak kurang dari tiga tahun atau kedua duanya sekali.

Akan tetapi, undang-undang ini masih lagi tidak mencakupi hak haiwan di jalan raya. Tiada peruntukan khas yang menyentuh tentang tanggugjawab penjagaan haiwan di dalam pembinaan binaan awam atau perlindungan kepada hidupan liar. Malah, undang-undang sedia ada hanya menyentuh mengenai perbuatan kekejaman haiwan yang dilakukan sama ada untuk mencederakan atau pengabaian haiwan dengan niat oleh pelaku tersebut. Dalam keadaan haiwan yang terbunuh oleh kenderaan, adalah tidak sesuai untuk menghukum pemandu yang mungkin melanggar haiwan dengan tidak sengaja.

Kesimpulan

Perlindungan kepada hak haiwan dari kaca mata undang undang masih memerlukan penambahbaikan dari segi menggariskan tanggungjawab penjagaan haiwan di jalan raya. Tanggungjawab perlu diletakkan kepada pihak berkuasa yang bertanggungjawab
di dalam pembinaan jalan raya atau lebuhraya tersebut sama ada dengan membina penghadang dan jalan alternatif kepada haiwan untuk melintas jalanraya tersebut.

Sepatutnya perkara ini perlu diambil kira bukan sahaja semasa pembinaan jalanraya, malah dalam pembinaan apa apa binaan yang dijangka akan menyebabkan pertembungan antara
manusia dan haiwan. Jika kita tidak memberi perhatian kepada perkara ini, akan bertambah lagi hidupan yang akan menjadi mangsa kemalangan jalanraya, dan menjadi bukti kegagalan
kita dalam hidup secara harmoni bersama haiwan.

Adam Fikry bin Bakru Rozi
Master of Law (International Law)
Universiti Sains Islam Malaysia



Source link

Comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

News Feed