by

Kedah dijangka mula terima hujan pertengahan April

News Sources:

ALOR SETAR: Kedah dijangka mula menerima taburan hujan pada pertengahan April ini berikutan negara kini sedang mengalami cuaca panas disebabkan fasa akhir Monsun Timur Laut yang sedang melanda negara ketika ini.

Pengarah Pejabat Meteorologi negeri, Muhammad Khalil Abd Aziz berkata, taburan hujan yang rendah dalam tempoh yang lama menyebabkan cuaca panas seperti yang sedang dialami sekarang.

Sehubungan itu, menurutnya, orang ramai dinasihatkan supaya lebih bersedia untuk berdepan dengan keadaan cuaca panas sehingga akhir Mac ini.

Menurutnya, berdasarkan rekod bacaan jumlah hujan di stesen meteorologi auksiliari dan stesen utama di Kedah semalam menunjukkan kebanyakan kawasan sudah tidak menerima taburan hujan sejak 19 hari lalu.

“Kita juga masih belum melihat tanda-tanda akan menerima hujan dan kita jangka tidak akan menerima hujan dalam tempoh terdekat ini,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Bagaimanapun, beliau berkata, setakat ini, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) tidak menjangkakan cuaca panas luar biasa atau ekstrem akan berlaku tahun ini.

“Berdasarkan pengalaman terdahulu, di Kedah, dua daerah yang merekodkan bacaan suhu paling tinggi adalah di daerah Baling dan Sik dengan bacaan suhu melebihi satu hingga dua darjah Celsius berbanding suhu di tempat lain.

“Jika suhu di daerah lain merekodkan bacaan 35 darjah Celcius maka bacaan di daerah Baling dan Sik adalah sekitar 36 darjah Celcius hingga  37 darjah Celcius,” jelasnya.

Dalam pada itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya kurangkan aktiviti di luar rumah bagi mengelak cuaca panas, minum air secukupnya dan elakkan pembakaran terbuka.

“Bagi petani pula dinasihatkan supaya merancangkan waktu kerja mereka di waktu pagi dan petang dan mengelak daripada melakukan kerja pada tengah hari,” katanya.

MetMalaysia dalam kenyataan baru-baru ini berkata  fasa akhir Monsun Timur Laut dijangka berterusan sehingga Mac ini.

Dalam tempoh ini, taburan hujan adalah agak rendah di Semenanjung terutamanya di negeri utara.

Sehingga kini, suhu tertinggi bagi Februari lebih rendah iaitu 36.2 darjah Celcius berbanding tahun lalu dicatatkan di Stesen Meteorologi Kuala Kangsar, Perak iaitu 37.4 darjah Celcius. -UTUSAN ONLINE





Source link

Comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

News Feed