by

Kediaman penduduk Felda Neram 1 banjir lagi

News Sources:

KEMAMAN: Belum habis penat membersihkan rumah dan mengemas barangan, kediaman penduduk di Kampung Baru Felda Neram 1 di sini sekali lagi dilanda banjir awal pagi ini.

Rudiah Jusoh, 60, berkata, banjir kali kedua yang berlaku minggu ini disifatkan lebih teruk berbanding yang pertama pada Ahad lalu.

“Hari Isnin, air sudah surut, saya dan anak-anak balik ke rumah untuk kerja-kerja pembersihan di samping mengangkat semula barang-barang ke tempat asal.

“Tidak sangka sekali lagi banjir berlaku sebab hari Isnin dan Selasa cuaca panas,” katanya ketika ditemui di kediamannya di sini.

Rudiah berkata, air memasuki kediamannya kira-kira pukul 3 pagi dan keseluruhan rumah ditenggelami banjir pada pukul 10 pagi.

Katanya, dalam bah kali ini tiada barangan yang sempat diselamatkan termasuk kabinet televisyen dan pakaian yang baharu dibeli beberapa minggu lalu.

Menurut Rudiah, dia sekeluarga memilih berpindah ke rumah anaknya berbanding ke pusat pemindahan sementara (PPS) berikutan keadaan suaminya, Ismail Mat, 70, yang uzur akibat kemalangan jalan raya beberapa tahun lepas.

Seorang penduduk, Mohd. Aizat Ibrahim, 23, berkata, walaupun sudah memindahkan barangan ke tempat tinggi namun tetap ditenggelami air.

“Mungkin kali ini banjir teruk berlaku sebab hujan tidak berhenti sejak semalam dan mungkin juga air Sungai Lembing, Pahang mengalir ke Sungai Cerul,” katanya.

Sementara itu, tinjauan mendapati rumah penduduk masih ditenggelami air berikutan hujan berterusan. – UTUSAN ONLINE





Source link

Comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

News Feed