by

Kejora ambil semula tanah langgar syarat

News Sources:

PASIR GUDANG: Lembaga Kemajuan Johor Tenggara (Kejora) tidak akan teragak-agak untuk mengambil semula tanah miliknya yang dipajak kepada pihak lain sekiranya terdapat pelanggaran syarat pajakan yang dipersetujui.

Menegaskan perkara itu, Pengerusinya, Datuk Seri Che Zakaria Mohd. Salleh berkata, Kejora tidak pernah memandang ringan isu tersebut termasuk tindakan pemajak mengusahakan tanaman lain di atas tanah yang dipajakkan itu.

Sebagai contoh, kata beliau, Pertubuhan Peladang Kawasan (Nafas) yang memajak tanah Kejora seluas 400 ekar untuk tanaman koko tetapi kini ditanam dengan sawit.

“Tindakan ini melanggar syarat yang dipersetujui dalam kontrak dan surat sudah pun dihantar kepada Nafas untuk mendapatkan penjelasan. Tanah pajakan ditarik balik jika langgar syarat, tidak kira siapa pun,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permas berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan bantuan barang keperluan asas kepada penduduk di pekarangan Surau Al Asyariah, Flat Balau, Taman Rinting di sini, hari ini.

Program anjuran Pertubuhan Kebajikan Anak Muda Bersatu (AMB), Kelab Permotoran Bersatu Johor dan Kelab Anak Perantau itu turut menyampaikan bantuan bekalan barang keperluan asas dan cecair nyahkuman di Masjid Taman Molek.

Mengulas lanjut, Che Zakaria berkata, pengurusan Kejora sedang menyiasat dan mendapatkan senarai pihak yang melanggar syarat termasuk jumlah kerugian yang terpaksa ditanggung Kejora akibat kesalahan terbabit.

“Selepas ini pemajak perlu wajib mendapat kelulusan pihak Lembaga Pengarah Kejora dan perlu dilakukan mengikut prosedur, kelulusan tidak boleh diberikan sesuka hati seperti sebelum ini yang dilihat terdapat ketirisan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau memberitahu, Kejora kini membuka tawaran kepada golongan muda memohon pajakan tanah untuk dibangunkan dengan projek pertanian sama ada berskala kecil atau besar.

“Kejora sedang memperhalusi jumlah keluasan tanah yang dibenarkan untuk pajakan dalam tempoh dicadangkan 30 tahun, tiada had untuk jumlah pemohon namun perlu membangunkan tanah tersebut dan tidak melanggar syarat.

“Kejora mencadangkan golongan muda yang berminat dengan projek pertanian untuk menanam buah-buahan tempatan kerana pasarannya luas serta mempunyai permintaan yang tinggi,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE





Source link

Comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

News Feed