by

Kekal ciri menarik dan bersejarah di Bukit Fraser

News Sources:

SAUDARA PENGARANG,

BARU-BARU ini tular dalam media mengenai cadangan pembangunan sebuah hotel lapan tingkat di Bukit Fraser, Pahang, namun timbul satu isu apabila bangunan bersejarah yang sedia ada perlu dirobohkan bagi memberi laluan kepada pembangunan tersebut.

Saya berpandangan, kerajaan negeri Pahang khususnya pihak berkuasa tempatan termasuk agensi Pusat yang berkaitan perlu menyediakan garis panduan khusus kepada pembangunan yang melibatkan tanah tinggi yang mempunyai cuaca sederhana sejuk dan tempat bersejarah.

Sebagai contoh Bukit Fraser diberi jolokan Little England kerana mempunyai suhu sederhana sejuk. Oleh itu ciri-ciri ini perlu dikekalkan meskipun perlu pembangunan, tetapi masih dikawal.

Oleh itu, saya ingin kemukakan beberapa cadangan bagi memastikan kawasan tarikan pelancongan itu tidak terjejas. Bangunan yang hendak didirikan seperti hotel atau apartmen hendaklah tidak melebihi lapan tingkat selain reka bentuk bangunan mesti mempunyai ciri seni bina campuran Inggeris dan Melayu serta tidak terlalu moden. Elakkan dari membina bangunan berdinding kaca yang akan menjejaskan suhu di kawasan tersebut.

Selain itu, pihak berkuasa perlu memastikan penebangan pokok yang telah berusia dilakukan secara terhad.

Harus ditambah taman-taman dengan pokok-pokok bungaan yang berbagai jenis untuk rekreasi dan pengekalan cuaca. Ini perlu dilakukan bukan sahaja bagi mengindahkan pemandangan, malah untuk mengekalkan keaslian kawasan tersebut.

Dalam masa sama, pihak berwajib juga perlu menyediakan dan menambah baik trek kembara atau jungle trekking yang lebih menarik dan selamat dengan menyediakan fasiliti asas yang perlu.

Akhir sekali, Jabatan Meteorologi Malaysia hendaklah memasukkan slot dalam ramalan kaji cuaca di dalam televisyen mengenai suhu pada waktu siang dan malam di seluruh kawasan tanah-tanah tinggi di seluruh Malaysia seperti Bukit Fraser, Genting Highlands, Cameron Highlands, Bukit Larut, Kundasang dan lain-lain.

TEROPONG DO RE MI
Setapak, Kuala Lumpur





Source link

Comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

News Feed