by

Kemenangan GPS lebih penting banding agih kerusi

News Sources:

PETALING JAYA: Kemenangan besar Gabungan Parti Sarawak (GPS) selaku rakan Perikatan Nasional (PN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Ke-12 adalah lebih penting berbanding agihan kerusi untuk Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Menurut  Perdana Menteri, sama ada parti itu akan diberikan kerusi dalam pilihan raya itu adalah soal kedua.

“Kalau boleh kita mahukan ‘landslide victory’ (kemenangan besar) dan saya jangka mungkin disebabkan usaha yang dibuat oleh Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg dan pimpinan dalam Kabinet negeri serta rakan-rakan dalam GPS yang telah bekerja kuat.

“Apa pun situasi, kita (PN) yang ada di Sarawak ini daripada Bersatu dan Pas, akan memberi sokongan penuh. Itu yang penting dan tidak ada perpecahan,” katanya dalam sidang akhbar selepas melawat projek naik taraf Hospital Umum Sarawak, Kuching, Sarawak.

Muhyiddin yang juga Pengerusi PN dan Presiden Bersatu ditanya sama ada Bersatu yang pada masa ini diwakili  Datuk Ali Biju sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri Krian akan bertanding pada PRN Ke-12 Sarawak.  

Muhyiddin berkata, hasrat Bersatu selaku rakan seperjuangan dalam parti yang berjuang di atas kefahaman yang sama ialah memastikan sokongan padu pengundi terhadap GPS agar dapat membentuk semula kerajaan negeri dengan sokongan lebih banyak kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

“Apapun kita akan berbincang dan terserah kepada budi bicara Abang Johari serta pimpinan GPS di Sarawak untuk membuat keputusan, saya tidak mahu jelaskan lebih,” katanya. – UTUSAN





Source link

Comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

News Feed