by

Kenapa Menara Taming Sari belum buka?

News Sources:

MELAKA: Apa sudah jadi dengan ikon pelancongan tersohor di negeri ini iaitu Menara Taming Sari? Itu yang berlegar dalam pemikiran orang ramai khususnya pelancong.

Sejak Julai lalu, menara se­tinggi 110 meter yang merupakan cetusan idea Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Mohd. Ali Mohd. Rustam sewaktu menjadi Ketua Menteri kini sepi tidak beroperasi hampir tujuh bulan.

Sejak Majlis Keselamatan Negara (MKN) membenarkan rentas daerah dan negeri biarpun beberapa negeri masih di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), pelancong mula membanjiri negeri ini khususnya di Banda Hilir.

Namun, ramai pelancong kecewa sebaik sahaja menjejakkan kaki di mercu tanda pelancongan paling menjadi tumpuan itu apabila melihat suasana lengang dan sepi selain tidak mengetahui Menara Taming Sari ditutup.

Seorang pelancong, Mohd. Nazri Madnor, 47, dari Kajang, Selangor berkata, beliau kecewa apabila datang ke situ buat kali kedua tetapi menara berkenaan masih belum dibuka sehingga kini.

“Pertama kali saya datang selepas dibenarkan rentas negeri pertama dahulu, ada kakitangan di situ beritahu menara ditutup sementara waktu untuk diselenggara, hari ini saya datang bersama isteri dan anak malah masih belum dibuka lagi.

“Bagi saya Menara Taming Sari antara produk pelancongan yang digemari pelancong domestik tapi bila tidak beroperasi selama tujuh bulan saya rasa ini satu kerugian yang amat besar buat Melaka sebagai destinasi pelancongan,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini, semalam.

Bagi Iqbal Binsaban, 29, dari Kuala Lumpur, dia turut terkilan kerana tidak dapat menaiki menara itu yang masih ditutup sehingga kini.

“Dulu saya pernah naik menara berputar, ingatkan bila datang lagi ke Melaka bolehlah naik semula menara ini tetapi kecewa ia ditutup,” ujarnya.

Mohd. Izzat Mat Sarif, 34, dari Seremban, Negeri Sembilan pula rasa terperanjat apabila mendapat tahu daripada peniaga berhampiran bahawa Menara Taming Sari itu ditutup hampir tujuh bulan.

“Saya datang dengan isteri dan anak bercuti sempena hujung tahun. Kami pilih Melaka sebab dekat dan banyak tempat menarik untuk dikunjungi dan salah satu disukai adalah menaiki Menara Taming Sari,” ujarnya.- UTUSAN ONLINE





Source link

Comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

News Feed