by

Kenapa PRU-15 perlu segera diadakan?

News Sources:

BAGAN DATUK: UMNO mengambil keputusan meminta Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) disegerakan agar mandat rakyat dapat dikembalikan bagi memilih kerajaan yang lebih stabil berbanding kerajaan sedia ada.

Presidennya, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, kerajaan yang stabil penting dalam memulihkan ekonomi negara terutama dalam menarik dan mengekalkan pelaburan langsung asing (FDI).

“Kenapa PRU perlu disegerakan? Kerana kita tahu kerajaan yang ada sekarang sangat rapuh, buktinya pengundian bacaan kali ketiga Belanjawan 2021 hanya menang dengan 111 undi iaitu kelebihan satu kerusi sahaja.

“Kekhuatiran kita ialah FDI tidak masuk melabur ke negara kita, malah ada pelabur yang sudah tarik pelaburan dan pindah ke negara lain, mereka tentu cari negara yang politiknya stabil.

“Kerajaan yang ada dianggap tidak stabil, jadi kita perlu serahkan kepada rakyat untuk dapatkan kerajaan yang stabil,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Bagan Datuk di sini hari ini.

Ahmad Zahid yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk mengakui kebimbangan ramai pihak mengenai risiko jangkitan Covid-19.

Bagaimanapun, beliau yakin Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mempunyai prosedur operasi standard (SOP) yang dicadangkan mengikut piawaian ditetapkan Kementerian Kesihatan sepanjang PRU-15 diadakan.

Katanya, lebih 30 negara sudah mengadakan pilihan raya sepanjang pandemik Covid-19 dengan terakhir ialah pemilihan Presiden Amerika Syarikat yang diadakan dengan SOP ketat.

Terdahulu, dalam ucapan perasmiannya, Ahmad Zahid berkata, rakyat rindu untuk melihat UMNO dan Barisan Nasional (BN) berkuasa semula kerana parti itu memiliki rekod dan sejarah panjang memerintah negara yang mana semua rakyat diberi kepedulian.

“Gunalah SOP baru dalam pilihan raya itu, kenapa takut nak buat PRU ketika pandemik Covid-19.

“Kita akur bahawa Covid-19 mesti dielakkan penularannya. (Tetapi) Kenapa takut (adakan PRU)? Kita bimbang takut sebab lain,” katanya.

Beliau berkata, UMNO membuat keputusan semua kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dimenangi oleh BN dalam PRU-14 adalah menjadi hak parti tersebut.

Menurutnya, justeru parti itu wajib mempertahankannya atau merampas semula kerusi berkenaan yang ditandingi wakil UMNO sebelum ini tetapi melompat ke parti lain.

Pada masa sama, katanya, Majlis Tertinggi Umno juga membuat keputusan akan menggunakan lambang BN pada PRU-15 dan tidak akan sama sekali menggunakan lambang parti lain. – UTUSAN





Source link

Comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

News Feed