by

Kerajaan akan dapatkan maklumat klinikal terkini AstraZeneca

News Sources:

EORGETOWN: Kerajaan akan mendapatkan maklumat klinikal terkini daripada pengeluar vaksin Covid-19 AstraZeneca ekoran terdapat berita terbaharu mengenai kesan sampingan vaksin tersebut kepada pengguna di United Kingdom (UK).

Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan, Khairy Jamaluddin berkata, ini kerana keputusan kerajaan membekalkan vaksin AstraZeneca itu kepada rakyat bukan dilakukan mengikut laporan berita semata-mata sebaliknya dibuat dengan menggunakan data klinikal.

“Apabila kita terima maklumat baru dalam berita, kita akan minta maklumat klinikal daripada AstraZeneca dan juga maklumat klinikal daripada Jawatankuasa Teknikal Pemilihan Vaksin serta Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) sebelum membuat apa-apa keputusan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas mengadakan lawatan kerja ke The Catalyst for Malaysia’s Technology Ecosystem (CREST), Universiti Sains Malaysia (USM) di sini hari ini.

Pada 18 Mac lalu, agensi kawal selia perubatan UK melaporkan terdapat lima kes kejadian darah beku pada otak dalam kalangan 11 juta penerima vaksin AstraZeneca.

Semalam jumlah kejadian darah beku meningkat kepada 22 laporan serta lapan lagi laporan kejadian serupa yang dikaitkan dengan platlet darah rendah daripada 18.1 juta penerima dos vaksin AstraZeneca.

Menurut Khairy, setakat ini pendirian kerajaan untuk mendapatkan vaksin Covid-19 AstraZeneca bagi mengawal penularan Covid-19 masih tidak berubah.

“Kita belum lagi menerima apa-apa maklumat untuk kita membuat pendirian yang berbeza daripada apa yang ada sebelum ini.

“Kita juga yakin dengan kepakaran kedua-dua pihak iaitu Jawatankuasa Teknikal Pemilihan Vaksin serta NPRA untuk menganalisis maklumat klinikal terhadap vaksin berkenaan,” katanya.

Dalam pada itu, Khairy yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi berkata, setakat ini Malaysia masih belum mencapai tahap kemampuan menghasilkan vaksin Covid-19.

Bagaimanapun pihaknya telah meletakkan cabaran kepada para penyelidik di negara ini untuk membangunkan vaksin bagi kegunaan manusia dalam tempoh 10 tahun lagi.

“Pandemik Covid-19 ini bukan pandemik terakhir yang melanda dunia, tidak mustahil akan wujud pandemik atau epidemik yang berpunca daripada zoonotik virus dan kita semua perlu bersedia menghadapinya,” katanya.

Sementara itu Khairy berkata, kerajaan juga sedang menjalankan penilaian risiko sama ada akan membenarkan pengembara yang telah mendapatkan suntikan vaksin Covid-19 untuk tidak menjalani kuarantin wajib setelah tiba di negara ini.





Source link

Comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

News Feed