by

Kerajaan dengari keluh kesah rakyat

News Sources:

KUALA LUMPUR – Cadangan kerajaan untuk memansuhkan syarat pengeluaran wang daripada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) melalui kemudahan i-Sinar memberi nafas lega kepada rakyat yang terjejas akibat pandemik Covid-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Meskipun berita gembira itu agak lewat diumumkan kerajaan dan ia dilonggarkan ketika rakyat sedang menjalani PKP 2.0, namun sedikit banyak dapat membantu rakyat yang kehilangan pekerjaan dan terjejas pendapatan.

Tinjauan MalaysiaGazette hari ini mendapati rata-rata orang ramai yang ditemui bersetuju dengan pengumuman terbaru itu, sekali gus memudahkan urusan rakyat yang tidak perlu lagi berurusan di kaunter pejabat KWSP.

Aida Sidik

Menurut seorang kakitangan swasta syarikat beli-belah dalam talian, Aida Sidik, 28, kelonggaran yang diberi kerajaan dapat membantu rakyat mengekalkan aliran tunai untuk meneruskan kelangsungan hidup.

“Bagi saya untuk orang yang terkesan itu memang bagus, bila ada duit i-Sinar itu, sekurang-kurangnya orang boleh beli barang, ada yang tiada gaji bulanan, mungkin untuk backup pendapatan.

“Golongan berpendapatan rendah (B40) sangat terkesan pendapatan, mereka perlukan duit itu untuk kelangsungan hidup.

“i-Sinar tanpa syarat untuk yang terkesan itu memang bagus. Kalau tak perlu (i-Sinar) tak payah keluar ataupun nak keluar sikit jer boleh pilih,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette di Bandar Baru Sentul, hari ini.

Muhammad Hanif Othman

Bagi Muhammad Haniff Othman, 33, langkah itu menunjukkan kerajaan hari ini amat prihatin kepada rintihan rakyat yang terkesan dengan pandemik Covid-19 yang memerlukan bantuan segera.

“Apa yang dilakukan kerajaan agak bagus di saat ini kerana dapat mendengar keluh kesah rakyat, sebab ramai yang terjejas dengan isu pandemik Covid-19 hari ini.

“Ia memudahkan urusan semua pihak, boleh dimohon secara dalam talian sekarang ini, tak perlu ke pejabat KWSP, kalau kita beratur bersesak-sesak ramai boleh menyebabkan wabak ini terus merebak,” katanya.

Ahmad Fadhil Akma

Sementara itu, bagi Ahmad Fadhil Akma, 25, pengeluaran i-Sinar tanpa syarat ini memudahkan rakyat yang ditimpa kesusahan apatah lagi ramai yang telah diberhentikan kerja dan hilang pendapatan.

“Bergantung keperluan dan keadaan kita sekarang, kalau kita betul-betul terdesak kita boleh keluarkan. i-Sinar penting, bila kita sudah ambil, kita kena rancang apa untuk masa depan, bukan berjoli,” katanya.

Ahmad Fadhli juga tidak menafikan i-Sinar juga boleh digunakan mereka yang kehilangan pekerjaan untuk memulakan perniagaan secara kecil-kecilan.

“Guna i-Sinar untuk modal berniaga itu bagus, kalau perniagaan itu jadi, kita dapat modal pusingan itu, dapat keuntungan kita boleh simpan balik dalam KWSP sendiri,” katanya lagi. – MalaysiaGazette



Source link

Comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

News Feed