by

Kerajaan negeri kesal vandalisme di Tasoh Lake Resort

News Sources:

PADANG BESAR: Kerajaan negeri kesal dengan perbuatan tidak bertanggungjawab segelintir pengunjung yang merosakkan pokok bunga tulip lampu diod pemancar cahaya (LED) di Tasoh Lake Resort, Kaki Bukit, yang tular baru-baru ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan negeri, Asmaiza Ahmad berkata, tindakan tersebut adalah satu perbuatan vandalisme terhadap harta benda awam dan harta pihak pengurusan tersebut.

Katanya, pihak pengurusan boleh mengambil tindakan kepada individu-individu yang telah merosakkan harta benda mereka jika perlu.

“Kerajaan negeri berharap agar pelancong-pelancong dapat mengutamakan kesedaran sivil dan menghentikan vandalisme.

“Pihak pengurusan telah membelanjakan wang untuk menjadikan tempat pelacongan ini cantik. Apabila berlaku kerosakan maka mereka perlu mengantikannya.

“Jadi, marilah kita sama-sama menjaga harta benda awam supaya sektor pelancongan di negeri ini dapat ditingkatkan,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Kelmarin, akhbar ini melaporkan tindakan segelintir pengunjung merosakkan perhiasan bunga tulip LED di Tasoh Lake Resort sehingga mencetuskan kemarahan ramai pihak.

Gambar-gambar yang tular tersebut menunjukkan ada pengunjung tergamak duduk malah tidur atas bunga terbabit untuk mengambil gambar swafoto mereka.

Sementara itu, Asmaiza memberitahu, belum ada lagi aduan berkaitan vandalisme di lokasi-lokasi pelancongan lain di negeri ini.

Namun begitu, beliau berkata, terdapat masalah daripada segi kebersihan iaitu pelancong membuang sampah di tempat yang tidak sepatutnya.

“Kebersihan bukan sahaja perlu dijaga tempat-tempat yang kita pergi, malah ia turut mencerminkan diri kita sendiri. Jika tidak jumpa tong sampah di mana mereka berada, maka peganglah dulu sehingga jumpa tong dan buang di sana.

“Tambahan pula Perlis terkenal dengan ekopelancongan, jadi kita mahu seimbangkan alam semula jadi dengan pembangunan sedia ada,” ujarnya. -UTUSAN ONLINE





Source link

Comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

News Feed