by

Kerjasama pihak industri bantu komersialkan produk baharu koko

News Sources:

SEREMBAN: Industri koko negara dijangka berkembang dengan lebih baik melalui kerjasama pihak industri dalam mengkomersialkan produk hasil penyelidikan oleh Pusat Inovasi dan Teknologi Koko (PITK).

Pengerusi Lembaga Koko Malaysia, Dr. Aliakhbar Gulasan berkata, hasil penyelidikan dan pembangunan (R&D) yang dilakukan di pusat tersebut telah berjaya menghasilkan 62 produk berasaskan koko.

“Lembaga Koko Malaysia (LKM) merupakan satu agensi yang sudah bergerak lama dalam penyelidikan dan kami terbuka untuk menjalinkan kerjasama dengan pihak industri, syarikat, persendirian atau mana-mana pihak yang boleh mempromosikan produk (koko) ini, sekali gus mengkomersialkannya.

“Pegawai kami telah menjalankan R&D dan menghasilkan banyak produk baharu dan terbaik yang berasaskan koko antaranya produk penjagaan diri, kesihatan, kecantikan, coklat dan produk separuh siap,” katanya dalam sidang akhbar di PITK, LKM di Nilai dekat sini hari ini.

Beliau berkata demikian selepas menyampaikan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) pada Majlis Apresiasi LKM 2021.

Turut hadir Pengurus Pusat (PITK), Dr. Fisal Ahmad dan Timbalan Ketua Pengarah (Penyelidikan dan Pembangunan), Dr Ahmad Kamil Mohd. Jaafar

Menurut Aliakhbar lagi, produk-produk R&D berasaskan koko tersebut dihasilkan menerusi penyelidikan secara terperinci, malah, makmal yang digunakan mendapat pengiktirafan ISO.

“Kami mahu kongsikan kejayaan ini dengan membuka peluang kepada mana-mana pihak untuk bekerjasama dalam memasarkan produk serta menyediakan khidmat nasihat tanpa sebarang bentuk caj perniagaan.

“LKM hanya membuat penyelidikan sahaja dan hasil itu kita berikan semula kepada masyarakat dan ia terbuka kepada mana-mana pihak yang berminat untuk pasarkan hasil produk kami,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Aliakbar memberitahu, berlaku ketidakseimbangan antara sektor huluan dan hiliran dalam industri koko negara.

“Hasil koko daripada produk hiliran adalah sebanyak 85 peratus berbanding sektor huluan hanya 15 peratus sahaja.

“Melihat kepada keadaan sekarang, kami cuba seimbangkan keadaan itu, yang mana sektor huluan akan ditambah dan sektor hiliran akan terus dimajukan,” katanya.

Tambah beliau, LKM juga menyasarkan untuk untuk menmbah 1,000 hektar tanaman baharu koko dalam tempoh lima tahun untuk meningkatkan hasil daripada sektor huluan.

“Kami juga optimis industri koko dapat mencapai sasaran RM10 bilion untuk pendapatan eksport negara seperti yang termaktub dalam Rancangan Malaysia Ke-12,” katanya lagi. -UTUSAN ONLINE





Source link

Comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

News Feed