by

Kes Ahmad Maslan gagal isytihar RM2 juta kepada LHDN didengar 5 Julai

News Sources:

KUALA LUMPUR: Perbicaraan Ahli Parlimen Pontian, Datuk Seri Ahmad Maslan terhadap tuduhan gagal mengisytiharkan RM2 juta yang diterima daripada Datuk Seri Najib Tun Razak kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), akan didengar di Mahkamah Sesyen di sini pada 5 Julai tahun depan.

Tertuduh turut dibicarakan terhadap tuduhan kedua memberi penyataan palsu kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Hakim Ahmad Kamar Jamaludin menangguhkan perbicaraan yang sepatutnya didengar pada 24 Disember ini selepas dimaklumkan beberapa anggota dalam pasukan pendakwaan dan pembelaan dikuarantin kerana mempunyai kontak rapat dengan pesakit Covid-19.

Mahkamah turut dimaklumkan bahawa Jabatan Peguam Negara (AGC) meneliti representasi kali ketiga tertuduh yang memohon agar kedua-dua tuduhan digugurkan. Representasi tersebut bagaimanapun ditolak pada 5 Oktober lalu.

Ahmad didakwa telah melibatkan diri dalam pengubahan wang haram dengan cara tidak melaporkan pendapatan sebenar berjumlah RM2 juta yang diterima daripada bekas Perdana Menteri itu kepada LHDN dalam Borang Nyata Cukai Pendapatan Bagi Tahun Taksiran 2013 yang bertentangan dengan Seksyen 113(1)(a) Akta Cukai Pendapatan 1967.

Beliau dituduh telah menerima wang tersebut, yang dipercayai sebagai hasil daripada aktiviti yang menyalahi undang-undang, melalui cek AmIslamic Bank Berhad bertarikh 27 November 2013 dan cek itu telah ditunaikan sendiri oleh Ahmad pada hari sama.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di LHDN, Cawangan Duta, Kompleks Pejabat Kerajaan, Jalan Tuanku Abdul Halim di sini pada 30 April 2014.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM5 juta atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, Ahmad didakwa telah memberi penyataan palsu kepada SPRM semasa percakapannya dirakam oleh pegawai penyiasat SPRM iaitu Ketua Penolong Kanan Penguasa Mohd. Zairi Zainal berhubung isu itu di bilik sidang media, Bangunan Parlimen, Jalan Parlimen antara 2.45 petang hingga 3.30 petang pada 4 Julai 2019.

Pertuduhan mengikut Seksyen 32(8)(c) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM3 juta atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan. – UTUSAN





Source link

Comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

News Feed