by

Kesetiaan bererti tidak mengkhianati – Ahmad Zahid

News Sources:

PETALING JAYA: Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamid menegaskan kesetiaan bererti ketelusan untuk menyimpan satu dalam hati dan berjanji tidak mengkhianati antara satu sama lain.

Katanya, justeru itu dalam aspek definisi kesetiaan, ia membawa banyak makna, namun pada prinsipnya tentang keteguhan hati di samping mengajak sesuatu kejujuran, ketulusan dan kepercayaan.

Beliau sehubungan itu menjelaskan, parti berpegang teguh kepada kesetiaan mutlak terhadap agenda perjuangan seperti yang dipamerkan pada Perhimpunan Agung UMNO 2020 pada baru-baru ini.

Kata Ahli Parlimen Bagan Datuk itu, kesetiaan dalam konteks UMNO pula adalah meneruskan agenda perjuangan agama, bangsa dan negara serta ia wajib dipertahankan meskipun dalam apa bentuk acuan sekali pun. 

“Ramuannya tidak boleh dibenarkan bercampur baur dengan agenda luaran yang subversif yang cuba dibawa masuk. Marilah kita belajar dari sebuah kesetiaan kerana ia mengajarkan pentingnya suatu kejujuran, ketulusan dan kepercayaan.

“Benar setia itu terkadang kala menyakitkan, tetapi kita perlu percaya mereka yang setia pada akhirnya ada sinar menanti. Saya selaku Presiden UMNO mengerti falsafah ini kerana itu walau apa terjadi kesetiaan pada parti tanpa kompromi, meskipun ia bermaksud lilin membakar diri,” katanya dalam hantaran Facebook beliau hari ini.

Kenyataan Ahmad Zahid itu dipercayai merujuk kepada situasi politik semasa melanda UMNO khususnya ekoran keputusan perhimpunan tahunan yang memutuskan kerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Sehari kemudian semua menteri dan timbalan UMNO dikatakan mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku Presiden Bersatu tanpa terlebih dahulu mendapat pandangan berhubung kedudukan masing-masing dengan kepimpinan tertinggi parti UMNO.

Malah Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang semalam membayangkan partinya akan meninggalkan Muafakat Nasional (MN) kerana mendakwa ia sudah menyeleweng dari matlamat asas sebaliknya meminta semua menyertai Perikatan Nasional (PN).

UMNO dan Pas merupakan parti mengasaskan MN yang bertujuan untuk memperkukuhkan politik dan perpaduan Melayu-Islam di negara ini.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid menjelaskan, sejak kebelakangan ini ramai menyebut tentang erti kesetiaan walaupun ia membawa banyak makna.

Katanya, ia membabitkan dalam konteks sesebuah hubungan sesama individu, agama negara dan kesetiaan kepada raja-raja Melayu.

“Dalam konteks agama, kesetiaan jauh lebih bermakna. Sebagai umat Islam kesetiaan kepada agama adalah kewajipan. Kesetiaan kepada negara adalah tentang jati diri dan nasionalisme serta perasaan cintakan tanah air yang tidak berbelah bahagi. 

“Tatkala berkata mengenai kesetiaan kepada Raja-Raja Melayu, ia lambang Malaysia sebuah negara berdaulat. Kepada pasangan hidup pula merupakan pemangkin kepada kesejahteraan institusi kekeluargaan.

“Justeru itu dalam aspek definisi kata-kata, kesetiaan membawa banyak makna. Namun pada prinsipnya semata-mata tentang keteguhan hati. Bak kata ilmuan, kesetiaan bererti ketelusan untuk menyimpan satu dalam hati dan berjanji tidak mengkhianati,” katanya. – UTUSAN ONLINE





Source link

Comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

News Feed