by

Khazanah seni Melayu klasik Dayang Nurfaizah dalam Belagu

News Sources:

Semestinya ramai yang sudah tahu penyanyi, Dayang Nurfaizah baru-baru ini hadir dengan buah tangan baharu berupa album penuh Melayu klasik, Belagu.

Ya. Satu tindakan berani bagi Dayang mengetengahkan lapan lagu kontemporari klasik yang diberi nafas baharu sentuhan Aubrey Suwito saat genre sebegini semakin ‘kabur’ di persada muzik tanah air sama seperti irama tradisional Melayu.

Tudung Periuk yang dipopularkan Seniman Agung, Allahyarham Tan Sri P. Ramlee dan Biduanita Negara, Allahyarham Puan Sri Saloma membuka tirai Belagu sebagai satu lagi masterpiece selepas kecemerlangan album Kasih (2005) yang lebih bereksperimentasi dari segi susunan muziknya ketika itu.

Ini berbeza jika dibandingkan dengan album berdurasi 29 minit dan 49 saat yang dirakam secara langsung di sebuah gudang ini kerana masih mengekalkan nilai estetika dan tatasusila Melayu klasik.

Sukar bagi penulis membuat pilihan lagu mana harus dijulang sebagai hebat daripada yang hebat, namun, rendisi Malam Ku Bermimpi (nyanyian asal P. Ramlee dan Saloma) yang digarap dengan penuh sentimental menggabungkan elemen seram beserta paluan gendang dan perkusi, seruling, petikan biola dan selo paling menarik perhatian.

Dayang juga bijak mengatur persembahan vokal dalam Jikalau Abang Merindu (nyanyian Nona Asiah); Tari Tualang Tiga (Saloma) dan Dikirim Jangan Dipesan Jangan (Datuk Andre Goh). Malah, Kenang Daku Dalam Doamu (M. Bakri) yang melankolik sifatnya membentuk naskhah Melayu klasik begitu meremangkan dan meruntun jiwa.

Tidak ketinggalan apabila Dayang berganding bersama Hael Husaini merakamkan semula Gurindam Jiwa (nyanyian asal R. Ismail).

Jujurnya, gandingan mereka bukanlah satu kelemahan, tetapi tidak keterlaluan jika dikatakan impaknya kurang menyerlah kerana sudah biasa mendengar suara mereka selepas penghasilan naskhah moden Haram dan Hari Ini.

Apa yang pasti, gabungan pelbagai alat muzik lain seperti piano, dram, bass, gitar, trumpet, saksofon, trombon, susunan muzik, vokal dan penjiwaan Dayang secara keseluruhan menzahirkan Belagu sebagai karya agung masa kini.

Pun begitu, tidak jelas adakah niat Dayang memperbaharui lagu-lagu Melayu lama mampu diterima semua pihak terutama generasi masa kini.

Mungkin boleh diterima kalau Dayang mahu ‘memperkenalkan’ pendengar-pendengar baharu tentang karya-karya orang lama. Cuma, untuk mengangkat lagu-lagu saduran ini sebagai fenomena dalam industri muzik tanah air dan dimainkan di corong radio agak sukar.

Belagu mungkin memenuhi keinginan peribadi atau kelangsungan kerjaya seni Dayang selama lebih dua dekad, namun pada akhirnya, peminat dan pendengar yang membuat pilihan.

Tudung Periuk sahaja hanya mencatatkan kurang 200,000 jumlah tontonan walaupun sudah dilepaskan di YouTube sejak sebulan lalu. Apa pula jaminan kepada tujuh lagu lain berserta video muzik yang bakal dilancarkan dalam masa beberapa bulan akan datang?

Noraniza Idris, yang sudah bertahun memperjuangkan irama tradisional walaupun beberapa kali hadir dengan karya hibrid dan tradisional masih berusaha agar pendengar menerima irama Melayu walaupun menyedari kini bukan lagi era kegemilangan Hati Kama, Nirmala, Dikir Puteri atau Ala Dondang.

Sebenarnya, di usia sekarang dan lapan diskografi album sejak 1999, Dayang tidak perlu bimbang andai perjalanan Belagu ada aral melintang kerana penyanyi Tak Pernah Menyerah ini sudah mengecapi nikmat bermuzik dengan pelbagai pengiktirafan.

Berawal dengan lagu mellow Hakikat Cinta dan Seandainya Masih Ada Cinta, beralih kepada Pop Rock Dayang Sayang Kamu sehinggalah rentak muzik fast beat seperti Haram (2018), Sebentar (2019), Gerak Dulu dan X Missing You (2020) – Dayang saya kira sudah boleh berpuas hati.

Saya bukanlah menilai teknik nyanyian Dayang, susunan lagu Abrey, kualiti rakaman, rekaan grafik Belagu atau tatarias dipersembahkan kerana saya tiada kapasiti untuk berbicara soal itu. Cukup dengan kehadiran Belagu meletakkan posisi Dayang berada di gelanggang tersendiri.

Satu-satunya, Dayang Nurfaizah.





Source link

Comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

News Feed