by

Kimci, ramen sudah dimelayukan? – Utusan Digital

News Sources:

PUTRAJAYA: Pencinta bahasa Melayu kini tidak perlu risau lagi dengan makanan Korea kegemaran ramai, kimci apabila perkataan itu sudah diserapkan dalam bahasa kebangsaan.

Ia susulan langkah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) mula menerima pakai nama makanan itu menerusi portal kamus versi dalam talian diurus agensi berkenaan sejak akhir tahun lalu.

Ini juga berdasarkan carian Utusan Malaysia melalui Kamus Dewan Perdana (KDP) terbitan DBP hujung tahun lepas dan mendapati istilah tersebut tiada dalam buku tesaurus baharu itu.

Sebaliknya, laman Gerbang Kata yang merupakan kamus elektronik atau e-kamus DBP telah memasukkan perkataan itu dengan ejaan dimelayukan iaitu kimci, bukan lazim dieja kimchi.

Kaedah itu sejajar dengan panduan rasmi ejaan piawai bahasa Melayu disempurnakan DBP sejak 1972 iaitu huruf c tidak perlu dieja ch atau tj seperti hukum ejaan bahasa Indonesia.

Justeru, perkataan pinjaman daripada bahasa Inggeris misalnya, chef perlu dieja cef dan chalet harus dieja calet, kecuali perkataan khas seperti China, Chile, Cheras atau Changi.

Selain kimci yang merupakan jeruk sayur diperam popular Korea, tidak ketinggalan diserap sebagai perkataan baharu bahasa Melayu ialah ramen, sejenis mi segera terkenal Jepun.

Ironi, dua istilah ini langsung tiada dalam daftar senarai glosari KDP dan dipercayai mungkin tidak sempat dimasukkan apabila kamus bahasa Melayu terbesar di dunia itu mula dicetak.

Bagaimanapun, dua makanan terkenal Jepun iaitu sukiyaki dan susyi sempat diselitkan dalam KDP yang berdasarkan data korpus lebih daripada 113 juta kata umum, dialek dan serumpun.

Inisiatif DBP memartabatkan citra bahasa Melayu itu sebenarnya sudah dimulakan beberapa tahun lalu apabila gigih mempromosikan ejaan betul bagi pelbagai nama makanan popular.

Antaranya serondeng (bukan serunding), martabak (bukan murtabak), makaroni (bukan macaroni), roti perata (bukan roti prata), aiskrim (bukan air krim), marjerin (bukan majerin).

Juga nasi himpit (bukan nasi impit), cencaluk (bukan cencalok), suun (bukan suhun), kuetiau (bukan kuey teow), beriani (bukan beriyani), baulu (bukan bahulu), bergedel (bukan bergedil).

Tidak dilupakan susyi (bukan sushi), mi (bukan mee), putu mayang (bukan putu mayam), kebab (bukan kebap), sate (bukan satay), muruku (bukan maruku) dan tose (bukan tosai).

DBP turut melancarkan slogan ‘Biasakan yang Betul, Betulkan yang Biasa’ sebagai usaha memperkasakan penggunaan bahasa Melayu jitu tepat dalam kalangan rakyat Malaysia.

Langkah tegas itu selaras dengan Akta Bahasa Kebangsaan 1963 serta Akta DBP 1959 (Semakan 1978, Pindaan dan Perluasan 1995) yang diwartakan pihak kerajaan selama ini.- UTUSAN ONLINE





Source link

Comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

News Feed