by

Konflik UMNO-Bersatu: PH perlu insafi diri

News Sources:

KUALA LUMPUR: Pakatan Harapan (PH) perlu merenung serta menginsafi kemelut penolakan akar umbi UMNO terhadap Bersatu kerana mana-mana kerjasama politik yang dibentuk menerusi muslihat, penipuan dan pengkhianatan bakal menemui pengakhiran yang memalukan.

Ketua Angkatan Muda PKR Selangor, Najwan Halimi berkata, dalam situasi sempang-peranang yang sedang melanda Perikatan Nasional (PN) ketika ini, PH seharusnya mengambil ruang dan ikhtiar untuk memperkukuhkan kerjasama di antara parti-parti komponen serta siap-siaga untuk menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) yang dijangka akan diadakan dalam masa terdekat.

“Perkembangan politik mutakhir kini menyaksikan bibit-bibit perpecahan yang ketara di antara UMNO dan Bersatu. Daripada 191 bahagian UMNO di seluruh negara, 189 bahagian telah menyatakan pendirian rasmi menolak kerjasama politik dengan Bersatu dalam PRU-15.

“Ini jelas menunjukkan bahawa ikatan politik parti-parti yang mendukung kerajaan PN kini dalam keadaan retak menanti belah,” katanya dalam satu kenyataan.

Akhbar Utusan Malaysia hari ini melaporkan, akar umbi UMNO memberi isyarat jelas menolak sebarang bentuk kerjasama dengan Bersatu.

Utusan Malaysia difahamkan, 191 bahagian yang selesai bersidang, sebanyak 189 daripadanya mengusulkan untuk menolak kerjasama dengan Bersatu.

Dalam pada itu, Najwan menambah, PH perlu bergerak secara lebih agresif dengan merangka semula kebijakan ekonomi dan sosial yang lebih berkesan demi memenangi semula kepercayaan dan keyakinan rakyat Malaysia, seterusnya mengambil alih kembali Putrajaya.

“Hal ini sewajarnya direnung serta diinsafi oleh pimpinan dan pendukung PH bahawa mana-mana kerjasama politik yang dibentuk menerusi muslihat, penipuan dan pengkhianatan tidak akan mampu bertahan lama,” jelasnya. – UTUSAN ONLINE 

 

 

 





Source link

Comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

News Feed